Keadaan di sempadan Kelantan selamat, terkawal

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN|Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Polis Kelantan akan mempertingkatkan kawalan dan risikan di kawasan sempadan susulan ketegangan yang berlaku di Tak Bai, Selatan Thailand.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhammad Zaki Harun berkata, walaupun keadaan di sempadan setakat ini selamat dan terkawal, namun pengawasan dilakukan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, selain itu pihaknya akan bertukar-tukar maklumat dengan pasukan keselamatan negara berkenaan berhubung insiden tersebut.

- Advertisement -

“Pertukaran maklumat penting bagi memastikan segala perancangan dan penugasan serta kawalan sempadan berada pada tahap terbaik.

“Tujuannya, kita mahu tahap keselamatan sempadan di negara ini berada dalam keadaan terbaik dan terjaga,” katanya kepada media ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan di sini semalam.

Hadir sama Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan isteri Datin Siti Zabedah Abdul Hamid, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jajahan.

Pada malam Rabu, pekan Tak Bai di Narathiwat digegarkan dengan beberapa siri letupan bom, selain kedengaran kejadian berbalas tembakan.

Kejadian kira-kira jam 10 malam itu turut didengari dari arah Pengkalan Kubor, Tumpat yang hanya dipisahkan Sungai Golok dengan Pekan Tak Bai.

Rakyat negara ini dapat melihat beberapa video yang dirakam orang awam tular di media sosial menunjukkan beberapa orang terlibat melepaskan tembakan.

Muhammad Zaki berkata, Polis Kelantan percaya insiden itu tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada warga tempatan yang terlibat dengan kejadian tersebut.

Sementara itu dalam perkembangan lain menurutnya sebaik sahaja pintu sempadan di Kelantan dibuka 1 Jun ini polis akan memperketatkan kawalan.

“Ia melibatkan sekatan jalan raya (SJR) dan pemeriksaan mengejut di pintu sempadan negeri,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/5/2022

- Advertisement -