Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Tindakan Ahli Parlimen Ampang, Dato’ Zuraida Kamaruddin keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah.
Exco Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam negeri, Dr Robert Ling Kui Ee berkata, kesemua Adun Bersatu di Kedah memberi sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Zuraida nak letak jawatan atau keluar parti, itu hak dia, tetapi kami di Kedah tetap memberi sokongan penuh kepada kerajaan negeri sekarang,” katanya ketika dihubungi.
Semalam Zuraida mengumumkan keluar Bersatu dan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Malah khabar angin bekas menteri terbabit mengasaskan penubuhan PBM sudah lama kedengaran biarpun Zuraida menafikan berkali-kali.
Exco Industri, Pelaburan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Pengajian Tinggi negeri, Dato’ Wira Ku Abdul Rahman Ku Ismail turut menzahirkan sokongan terhadap kerajaan negeri sekarang.
Menurutnya tindakan Ahli Parlimen Ampang keluar Bersatu tidak menjejaskan kedudukan kerajaan negeri Kedah.
“Saya yakin kesemua enam Adun Bersatu menyokong kepimpinan Menteri Besar Kedah dan akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15,” katanya.
Semalam, Sanusi pada sidang media di Bukit Kayu Hitam berkata, tindakan bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu tidak menjejaskan kerajaan Kedah.
Kerajaan Perikatan Nasional Kedah didukung 23 Adun yang diwakili PAS (15), Bersatu (6) dan Barisan Nasional (2).
Sementara Pakatan Harapan pula mempunyai 11 kerusi iaitu PKR (3), Amanah (4), DAP (2) dan Pejuang (2). – HARAKAHDAILY 27/5/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!