Isu air di Kelantan bukan seperti lampu Aladin

- Advertisement -

Oleh M FAQIH

MENGAPA
isu bekalan air di Kelantan masih berlarutan. Tidak selesai juga sampai sekarang. Sedangkan kata pihak tertentu, kementerian yang bertanggungjawab terhadap bekalan air juga diketuai pemimpin PAS.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man merupakan Ahli Parlimen PAS di Kubang Kerian. Beliau sekarang menerajui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Lalu ditanya mereka, adakah menteri dari PAS tidak buat kerja. Dogma itu dijaja meluas di Kelantan. Ia tidak lebih sebagai serangan saraf bagi melemahkan PAS.

Sedangkan semua tahu, bila Tuan Ibrahim dilantik sebagai menteri.

Ustaz Tuan bukan dilantik ke jawatan itu 20 tahun lalu. Kabinet Perikatan Nasional (PN) dibentuk pada Mac 2020. Sebelum ini Ustaz Tuan merupakan ahli parlimen pembangkang.

- Advertisement -

Nah cuba kita pakat buat matematik mudah. Cuba hitung Mac 2020 hingga Mac 2022 baru dua tahun kan.. Dan sekarang Mei 2022, ini bermakna dua tahun dua bulan. Lojiknya kalau loji baru dibina dua tahun belum tentu siap lagi.

Itu pun belum lagi diambil kira kerenah birokrasi. Hendak dapat bajet projek besar kena melalui banyak jawatankuasa. Terlebih dahulu kena siap kertas kerja.

Lebih-lebih lagi projek bernilai puluhan juta ringgit. Bukan macam lampu Aladin. Bukan hari ini sebut, esok sudah siap. Kalau mesyuarat PIBG bolehlah. Itu pun kita kena berkira juga, takut disenarai dalam laporan audit.

Namun apa yang cuba digambarkan sekarang, ada pihak seronok ‘menyelak’ kain kerajaan PAS Kelantan. Lebih-lebih lagi Kelantan ditadbir ulama sejak lebih 30 tahun lalu.

Apabila dikaitkan dengan ulama, musuh membiak di sekeliling pinggang.

Ramai marah ulama apabila premis judi diharamkan. Kumpulan yang marah itu ada NGO, ada parti politik dan individu. Mereka marah kerana sebelum ini boleh berjudi di mana sahaja. Tiba-tiba ulama sekat. Kata mereka apa haram jadah..

Namun arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz tidak hiraukan semuanya itu. Arwah tidak hairan dengan amarah manusia. Tok Guru lebih takut murka Allah. Dan apa yang dirintis Tok Guru 30 tahun lalu, dituai hasilnya generasi sekarang.

Biarpun jenayah dan maksiat masih berlaku, setidak-tidak ia masih terkawal. Tiada lagi kisah rumah tangga runtuh kerana suami tahi judi.

Bagaimanapun musuh Islam tidak pernah berdiam diri. Setelah tiada isu judi di Kelantan mereka tembak peluru kapur isu lain pula. Isu boleh dicungkil di mana-mana.

Selagi ada roh, manusia tetap akan dibelenggu masalah. Manusia hanya tiada masalah selepas roh meninggalkan jasad.

Maka bagi meneruskan agenda menghodohkan Kelantan, maka isu air dan balak mereka temui. Malah ada pihak terpaksa mewujudkan NGO bagi menggapai impian tersebut.

Setiap hari mereka membangkitkan isu bekalan air di Kelantan, seolah-olah situasi serupa tidak berlaku di negeri lain. Bekalan air bersih di luar Kelantan tiada masalah.

Rakyat negeri lain tidak menderita seperti berlaku di Kelantan. Buka kepala paip air akan terus mengalir. Betulkah begitu.

Cuba kita belek helaian-helaian akhbar dan intai media sosial. Di Kangar, Perlis dilaporkan lebih 1,200 penghuni Pangsapuri Seri Sena terpaksa mengangkut air ke tingkat 13.

Masalah bekalan air dialami blok A pangsapuri terbabit. Di Kampung Sungai Nonang Mungkin Tebengau Alor Setar penduduk mendakwa masalah bekalan air berlarutan sejak 15 tahun lalu.

Di Terengganu, kerajaan negeri memerlukan kira-kira RM1.5 bilion bagi mengatasi masalah bekalan air. Ia bagi menaik taraf kemudahan bekalan air yang sering bermasalah di seluruh Terengganu.

Itu belum diambil kira laporan media isu serupa di Selangor, Perak dan seluruh negara. Namun Save Kelantan hanya nampak isu yang berligar di Kelantan.

Kalau sekadar itulah idealisme NGO terbabit ia tidak akan ke mana-mana. Dibimbangi Save Kelantan tenggelam selepas Pilihan Raya Umum ke-15 berlalu. Banyak bukti disimpan dalam diari sejarah.

Kalau amarah sekali pun berpada-padalah. Usah hasut rakyat untuk mendapat mileage politik. Seperti kata anggota Exco Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman, kalau kita masih dapat ambil wuduk, maknanya air masih ada di Kelantan.

Orang kampung bimbang takut seperti meludah ke langit. Jangan jadi bagai tikus membaiki labu. – HARAKAHDAILY 27/5/2022

- Advertisement -