Pastikan sekuriti bekalan makanan negara terus terjamin

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR:
Ahli akademik, Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed menyambut baik usaha kerajaan untuk memansuhkan keperluan lesen import (AP) terhadap bekalan bahan makanan di negara ini.

Ia bertujuan bagi memastikan sekuriti bekalan makanan negara terus terjamin.

Bagaimanapun menurut pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, kebergantungan negara kepada keperluan barangan import perlu dikurangkan.

- Advertisement -

Ini kerana menurut beliau, sekiranya berlaku krisis sekuriti makanan global yang serius, ia boleh mengakibatkan negara terputus bekalan makanan akibat kebergantungan tinggi terhadap barangan import.

“Bila berlaku krisis sekuriti makanan, masing-masing negara akan berikan perhatian berkenaaan bekalan makanan negara masing-masing.

“Krisis sekuriti makanan ini bukan hanya berlaku di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.

“Jika kita dapat lihat sekarang, bekalan ubi kentang dan daging mentah seperti ayam sangat terkesan. Kekurangan bekalan makanan ayam seperti dedak juga memberikan kesan kepada bekalan ayam,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini.

Justeru itu, beliau mencadangkan kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) merangka pelan jangka masa pendek dan panjang untuk dilaksanakan di peringkat dalaman.

Katanya, antara langkah segera yang boleh dilakukan adalah dengan memanfaatkan sumber alam semula jadi seperti tanah bagi penanaman pelbagai sayuran berskala besar.

“Kita buat segera dan fokus pertama adalah sayuran yang boleh mengeluarkan hasil yang cepat sekitar tiga hingga enam bulan.

“Krisis bekalan makanan ini berpotensi menjadi lebih besar pada suku ketiga tahun ini.

“Sekurang-kurangnya jika berlaku krisis yang luar biasa, maka bekalan sayuran tersebut boleh menjadi talian hayat,” jelas beliau.

Sehubungan itu katanya, kerajaan boleh mengambil inisiatif untuk menyewakan tanah milik kerajaan yang bersesuaian secara percuma selama dua tahun dan boleh diperbaharui tempoh penyewaan kepada pengusaha pertanian khususnya pengusaha Bumiputera.

Ujarnya, usaha-usaha ini penting bagi memastikan kelangsungan sekuriti rantaian bekalan makanan negara terus terjamin.

Terdahulu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan kerajaan memansuhkan keperluan lesen import (AP) terhadap bahan makanan, berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, dengan pemansuhan keperluan permit itu, sesiapa sahaja boleh mengimport makanan ke negara ini. – HARAKAHDAILY 21/5/2022

- Advertisement -