Sabah wajar ada Sistem Panggilan Kecemasan sendiri

Oleh AIZAL SAMSARUDDIN

SANDAKAN:
Sudah tiba masanya Sabah harus mempunyai Sistem Panggilan Kecemasan sendiri bagi memastikan keselamatan masyarakat awam lebih terjamin.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Sahar Abdul Majid berkata, amat wajar pusat panggilan kecemasan diwujudkn di Sabah bagi mengurangkan birokrasi panggilan kecemasan seperti berlaku sekarang.

Katanya, warga Sabah sekarang terpaksa melalui Pusat Panggilan MERS999 di Kuala Lumpur, Melaka atau Kuching sebelum disambung ke Unit Keselamatan dan agensi berkaitan di Sabah.

Advertisement

“Pihak terbabit perlu menambahbaik dari segi kecekapan dan bertangungjawab sepenuhnya agar insiden yang berlaku sebelum ini tidak berulang,” katanya di sini.

Beliau diminta mengulas kemalangan di Kelombong baru-baru ini yang menyebabkan kematian seorang pembuat roti, Lew Kok Fai, 54 dikatakan ada kaitan pasukan perubatan hospital lambat sampai di lokasi kejadian.

Sahar yang juga Pengarah Khidmat Malaysia Sabah berkata, semua pihak harus mengambil pengajaran daripada insiden tersebut.

Menurutnya sudah sampai masanya Sabah memiliki Sistem Panggilan kecemasan sendiri agar supaya tindakan pantas dan proaktif daripada agensi berkaitan bagi memastikan nyawa rakyat dapat diselamatkan.

“Semua pihak juga tidak harus membakulkan kesilapan kepada agensi di Sabah yang mungkin disebabkan maslaah teknikal ketika berkomunikasi sehingga kelewatan bantuan kecemasan.

“Saya yakin pasukan kecemasan kita telah melakukan yang terbaik demi keselamatan nyawa orang ramai,” ujarnya.

Oleh itu katanya Kementerian Telekomunikasi dan Multimedia perlu memastikan sistem rangkain telekomunikasi di seluruh Sabah dapat dibangunkan segera.

Menurutnya masih banyak lokasi di Sabah yang tidak mendapat liputan internet atau rangkaian telekomunikasi yang baik. – HARAKAHDAILY 17/5/2022