SMART SBB: MAFI sasar 150,000 hektar

- Advertisement -

BUTTERWORTH: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan untuk melaksanakan program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di kawasan padi seluas 150,000 hektar di seluruh negara secara berperingkat.

- Advertisement -

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata program SMART SBB adalah inisiatif kerajaan melalui MAFI untuk membangunkan kawasan penanaman padi dengan mengoptimumkan penggunaan tanah dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil padi. 

“SMART SBB ini diperkenalkan untuk merealisasikan Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) 2021-2030 sebagai usaha kerajaan menjamin sekuriti makanan melalui transformasi sistem makanan negara.

“Program ini bermatlamat meningkatkan produktiviti hasil pengeluaran padi dan pendapatan pesawah dengan sasaran jumlah kawasan sawah padi seluas 150,000 hektar di seluruh negara secara berperingkat,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Ronald merasmikan Majlis Perasmian Program SMART SBB dan menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan syarikat peneraju Pulau Pinang.

Beliau berkata program SMART SBB terbukti berhasil meningkatkan pendapatan dan purata hasil padi sehektar selain mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

“Sejak diperkenalkan pada 23 Februari 2021, program SMART SBB telah berjaya dilaksanakan di sembilan negeri iaitu Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Perak, Selangor, Terengganu, Sabah dan Sarawak dengan penglibatan sebanyak 19 buah syarikat peneraju.

“Saya yakin kolaborasi strategik antara MAFI bersama Koperasi dan Syarikat-Syarikat Peneraju akan menjadi titik permulaan kepada perubahan landskap industri padi dan beras tempatan di Pulau Pinang,” katanya.

Tambahnya, sehingga Mac tahun ini, sebanyak 4,123 orang peserta telah menyertai program SMART SBB dengan jumlah keluasan lebih 10,000 hektar.

Sementara itu, Ronald berkata pihaknya sedang menguruskan isu gandum selepas tindakan India  menyekat eksport gandum ke negara.

Katanya, Malaysia tidak menanam gandum tapi mempunyai kapasiti untuk menanam jagung dan tanaman lain bagi keperluan alternatif.

“Kita sedang uruskan masalah ini…kita mempunyai pengimport beras, pengimport gandum dan produk keperluan lain, tentu mereka akan cari sumber alternatif lain,” katanya.

Baru-baru ini, India dilapor mengenakan larangan eksport gandum berkuat kuasa serta-merta, susulan gelombang haba akibat cuaca panas terik yang menjejaskan hasil tanaman dan harga bekalan tempatan mencecah rekod tertinggi. – BERNAMA

- Advertisement -