Mansuh lesen premis judi pencapaian terbaik PN Kedah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Budaya scrape-off yang menjadi amalan kerajaan sebelum ini tiada lagi di Kedah sekarang, di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Dato’ Ahmad Yahaya berkata, pendekatan Menteri Besar sekarang Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dianggap yang terbaik sehingga kini.

Katanya budaya scrape-off yang diamalkan kerajaan terdahulu, tidak diamalkan lagi kerajaan sekarang.

“Malah Menteri Besar mahu budaya itu dibuang supaya tidak terus berakar dalam politik di negeri ini,” katanya pda kenyataan sempena dua tahun pentadbiran PN Kedah hari ini.

- Advertisement -

PN mentadbir Kedah selepas pakatan itu memiliki sokongan 15 Adun PAS, Bersatu (4), Barisan Nasional (2) dan Bebas (2).

Sanusi dilantik sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 pada Mei 2020 bagi menggantikan Dato’ Seri Mukhriz Mahathir yang hilang sokongan majoriti.

Ahmad juga berkata, pelbagai kejayaan ditempa dengan pendekatan budaya berkenaan termasuk Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dijenamakan semula dengan nama Kedah Aerotropolis dan Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap.

Katanya, kedua-dua projek terbabit membawa kejayaan dan keuntungan kepada rakyat dengan pelbagai manfaat.

“KRC boleh membawa manfaat kepada hampir 76,642 pekebun kecil dan penduduk tempatan, antara projek yang dipelopori kerajaan terdahulu.

“Ia juga merupakan game changer kepada Kedah untuk mengubah corak masa depan negeri itu bahkan ke arah kerangka budaya politik yang lebih matang.

“Begitu juga dengan KXP, bukan sekadar membangun sebuah lapangan terbang antarabangsa, bahkan merangkumi sebuah bandar aerotropolis The Memphis of Asian,” kata beliau.

Menurutnya juga prinsip utama yang dipegang Sanusi menunaikan amanah sebagai pemimpin tanpa mengira latar belakang politik, kaum dan agama.

Kata beliau walaupun negara dihimpit masalah ekonomi akibat pandemik Covid-19, namun Kedah mampu menempah kejayaan dengan cemerlang.

“Kedah berjaya meraih pelaburan berjumlah RM68.3 bilion yang jelas membuktikan kepercayaan pelabur terhadap kepimpinan Menteri Besar sekarang.

“Malah keputusan berani yang diambil oleh beliau (Sanusi) iaitu tidak membaharui lesen premis judi di negeri itu merupakan yang terbaik walaupun mendapat tentangan pelbagai pihak,” tambahnya.

Kata Ahmad, beliau mengenali Sanusi sebagai seorang yang tegas di sebalik wajah yang sentiasa murah dengan senyuman.

Barangkali katanya, ketegasan itu diwarisi daripada mentornya Almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga merupakan bekas Menteri Besar Kedah.

“Saya yakin rakyat sangat menyenangi pendekatan low profile dan serba bolehnya dalam pelbagai aspek,” katanya yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 17/5/2022

- Advertisement -