Kenapa kerap berlaku gangguan bekalan air?

- Advertisement -

SAYA menyedari masalah yang dihadapi oleh penduduk berkaitan bekalan air di sesetengah kawasan dalam DUN Jengka ini. 

Malah Pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan Pengurusan PAIP Daerah Maran juga sering dimaklumkan berkaitan masalah-masalah yang dihadapi oleh pengguna. Mereka sentiasa memberi kerjasama yang baik bagi menangani aduan-aduan yang diterima. 

- Advertisement -

Namun masalah bekalan air yang berpanjangan tidak boleh diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Sesetengah penyelesaian hanya bersifat jangka pendek. Itu pun di sesetengah kawasan sahaja. 

Apa puncanya? 

Masalah utama yang dikenalpasti adalah permintaan tinggi berbanding kapasiti yang boleh dibekalkan. 

Penduduk bertambah dari tahun ke tahun. Paip bekalan sedia ada pula tidak mampu menampung tekanan air yang tinggi bagi memenuhi permintaan bekalan tersebut. 

Ia menyebabkan berlaku tekanan rendah di sesetengah kawasan ekoran penggunaan air yang meningkat. 

Sekiranya tekanan air berlebihan, besar kemungkinan akan berlaku paip pecah. Ia perlu sentiasa diawasi bagi mengelak risiko kerosakan yang lebih besar dan mengambil masa lama untuk dibaik pulih.

Apakah langkah penyelesaian?

Infrastruktur bekalan air perlu dinaik taraf dan distruktur semula. Ia melibatkan kerja-kerja naik taraf loji rawatan, tangki air dan penggantian paip-paip bekalan baru. 

Semua ini melibatkan kos yang sangat besar dari kerajaan Pusat. Perkara ini sedang diusahakan.

Kepentingan awam 

Bagi setiap aduan atau permasalahan, saya mengambil tanggungjawab untuk mencari penyelesaian melalui perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan. 

Dalam konteks masalah bekalan air, saya memahami kesulitan yang dihadapi oleh penduduk di sesetengah kawasan. Malah Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jengka sentiasa mengambil berat jika ada kawasan-kawasan yang belum menerima bekalan air. 

Dalam masa yang sama kita juga perlu memahami sebarang kekangan di pihak Pengurusan PAIP Daerah Maran yang bertanggungjawab menyelesaikan aduan. 

Justeru, saya harap kita dapat bersabar dan memberikan ruang kepada pihak-pihak yang berkaitan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka menangani aduan. 

Saya dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jengka akan sentiasa membuat susulan bagi memastikan permasalahan akhirnya dapat diselesaikan.

Harapan saya, agar setiap rumah mesti mempunyai tangki simpanan air sendiri. Ia sangat perlu, sebagai sokongan tambahan ketika ketiadaan air.

Pengguna yang ada sebarang aduan atau pertanyaan berkaitan permasalahan air boleh hubungi terus Pusat Khidmat Pelanggan PAIP Daerah Maran di talian 09-5739999 .

Sebarang aduan boleh sk ke Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jengka di talian 018-3874100 / 09-4675210 .

Akhir kalam, kita berdoa kepada Allah agar permudahkan semua urusan kita di dunia dan di akhirat.

Sekian dari saya,

SHAHRIL AZMAN ABD HALIM
ADUN Jengka – HARAKAHDAILY 17/5/2022

- Advertisement -