Istiqamah selepas Ramadan: Lembutkan hati atasi kemarahan

- Advertisement -

PERASAAN marah, sedih dan gembira merupakan sifat yang terdapat dalam jiwa setiap yang bergelar manusia. Namun emosi semula jadi tersebut boleh menjadi negatif dan bertambah parah apabila ianya sukar dikawal dan boleh bertukar ganas.

- Advertisement -

Dalam banyak keadaan, disebabkan marah seorang suami sehingga  menjatuhkan talak kepada isteri sementara seorang kawan boleh melepaskan tumbukan ke muka kawannya yang boleh membawa kepada kecederaan dan pergaduhan lebih besar dan berpanjangan.

Jangan marah‘… Larangan ini telah diulang oleh Baginda Nabi S.A.W beberapa kali. 

Di dalam sebuah Hadis yang bermaksud:

“Seorang laki-laki berkata kepada Nabi, “Berilah aku wasiat?” Beliau bersabda,”Janganlah kamu marah.” Laki-laki itu mengulangi kata-katanya, beliau tetap bersabda,”janganlah kamu marah.””

[Hadis Riwayat Bukhari: 5651]

Sudah tentu dalam kehidupan seharian kita pastinya berhadapan dengan pelbagai kisah masyarakat termasuk di bulan Ramadan dan Syawal yang mulia tetap berlaku kejadian yang tidak diingini seperti pergaduhan suami isteri, anak dan ayah bertumbuk terajang serta persengketaan sesama jiran tetangga.

Antara faktor yang dikenalpasti boleh diberi perhatian untuk diatasi adalah berkaitan kawalan emosi dan kemarahan. Sepatutnya pupuklah sifat sabar dalam diri dan sentiasa beristighfar agar diri tidak ‘dikuasai’ syaitan durjana.

Rasulullah pernah berkata di dalam sabda-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah.”

 [Hadis Riwayat Bukhari 3281 dan Muslim 2175]

Terdapat beberapa pesanan yang Baginda S.A.W titipkan kepada kita sewaktu kita sedang marah, antaranya ialah:

(1) Duduk jika sedang berdiri, berbaring jika sedang duduk.

(2) Mengambil wuduk.

(3) Mengelak daripada Membuat Sebarang Keputusan Besar.

(4) Diam.

Mudah-mudahan selepas melalui sebulan Ramadan dan kini dalam suasana meraikan Syawal, kita seharusnya boleh berusaha sedaya mungkin sekurang-kurangnya menambahkan satu sikap yang baik dengan memaafkan sesiapa sahaja dan mengurangkan satu sikap buruk dengan mengawal kemarahan dalam kehidupan seharian.

Menahan amarah dan mengawalnya merupakan satu sikap yang amat terpuji dan amat dituntut dalam Islam. Malah menjamin kesejahteraan hidup diri sendiri, ahli keluarga dan masyarakat keseluruhannya, Insya-Allah.

Allah S.W.T telah berfirman dalam al-Quran, tatkala menyifatkan beberapa ciri orang yang bertaqwa:

الذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ

“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.”

(Ali ‘Imran: 134)

Maka, saat kita menyambut Aidilfitri dengan kembali kepada fitrah manusia yang sukakan kebaikan dan bencikan keburukan pasti amat bermakna sekali. Moga Allah S.W.T terus merahmati dan memberkati kita semua, Amin.

ZULFAHMI RAMLI
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 17/5/2022

- Advertisement -