Baru insaf, biasalah

- Advertisement -

KITA biasa sangat mendengar atau membaca kisah-kisah yang menceritakan mengenai segolongan manusia yang pada zaman dahulunya sangat jahat dan merosakkan. Tiba pada satu masa, mereka merasa kesedaran, insaf terhadap apa yang telah mereka lakukan dahulu. Mereka ingin bertaubat.

Maka bertaubatlah mereka. Mereka telah mengubah acuan atau haluan hidup mereka, meninggalkan segala dosa dan noda, amalan mereka sebelum ini. Dengan segala kepayahan, mereka mula mengorak langkah, menuju kepada tujuan hidup yang baharu. Dan kini, dosa-dosa mereka yang silam, hanyalah kenangan yang kelam.

- Advertisement -

Dalam pencarian mereka itu, mereka akan menemui beberapa jalan. Ada yang mendapat jalan yang betul, lurus kepada Allah, menurut kehendak Allah dan Rasul-Nya. Namun, ada juga yang tersesat, mengikuti jalan lain yang bukan jalan yang semestinya mereka ikuti.

Lalu, dengan semangat baharu, mereka yang tersesat jalan ini, berpegang teguh dengan pegangan terpesong mereka, yang pada anggapan mereka ia adalah jalan yang lurus yang diidamkan oleh seluruh manusia. Mereka beramal, semakin teguh dengan keyakinan mereka, tanpa menyedari guru mereka itu adalah guru yang batil.

Dek kerana terlalu yakin yang mereka sudah terlalu Islam, sudah teramat mukmin, sudah benar amat laluannya, maka mereka mula menegur golongan yang tidak mengikut mereka. Katanya mereka sesat, mereka salah, tidak berada di landasan yang Allah tetapkan. Kamu akan ke neraka, sedang merekalah yang sebenarnya tersesat.

Mereka baharu mengenal Islam, tiada mereka amalkan Islam sebelum ini, tetapi tiba-tiba menjadi lebih alim daripada golongan yang sudah lama beramal dengan Islam yang benar, hanya kerana percaya, mereka sudah mengubah haluan hidup mereka, sedangkan amalan Islamnya belum benar-benar bermula.

Tidakkah kita sudah kerap melihat golongan seperti ini? Keyakinan mereka bahawa mereka ada di atas jalan yang benar, rupanya hanya khayalan kerana tidak mengetahui apa sebenarnya Islam, tetapi menuduh golongan yang sudah sebati dengan Islam itu pula puak yang batil. Mereka akhirnya jauh masuk ke dalam hutan kesesatan yang amat tebal, kerana mereka bebal.

Begitulah contoh kepada saranan Umno, untuk membubarkan PAS, hanya kerana mereka sudah menukar perlembagaan parti mereka, bukan kerana amalan Islam yang benar yang mereka laksanakan ketika berkuasa dahulu, kerana amat sedikit. Golongan jahil dan dungu sebegini, memang banyak. Hendak bandingkan rekod rasuah, mereka ada bertimbun. Hendak periksa rekod kedai judi, merekalah yang meluluskannya.

Jadi, jalan yang senang, bagitahu orang yang mereka sudah cukup Islamik, tidak perlu lagi ada jemaah lain yang bergerak atas nama Islam. Islam versi mereka sudah cukup. Gila ke apa?

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 17/5/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -