Sayu hati membaca insiden maut lima pelajar USAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sayu hati membaca insiden maut melibatkan lima orang pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) berhampiran Terowong Menora, malam tadi.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga almarhum yang terkorban, para kenalan dan warga USAS.

“Marilah kita mendoakan agar semua almarhum diampuni, dirahmati, dikasihi dan ditempatkan bersama orang-orang beriman,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff turut menyampaikan ucapan takziah.

“Mendapat perkhabaran duka atas pemergian lima orang mahasiswa USAS yang terlibat dalam satu kemalangan berhampiran Terowong Menora, Perak pada awal pagi ini 12 Mei 2022 bersamaan 11 Syawal 1443H.

“Salam takziah saya ucapkan buat keluarga Allahyarham. Didoakan semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah,” ujarnya dalam hantaran di laman sosial beliau.

Bagi Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bertambah sedih apabila melihat video yang diviralkan.

“Menerima perkhabaran mengenai lima sahabat yang kemalangan di Perak dan salah seorang dari mangsa merupakan rakyat Terengganu menyebabkan saya terkejut dan tersentuh.

“Apatah lagi apabila melihat video yang diviralkan, tambah sedih dengan kisah ini,” katanya dalam hantaran di laman sosial beliau.

Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terlibat iaitu Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, dari Kuala Kubu Bharu, Selangor; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, berasal dari Chukai Terengganu; Iqbal Hasnun Halimi, 23, dari Senai Johor; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dari Batu Caves, Selangor dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar, Perak. – HARAKAHDAILY 12//5//2022

- Advertisement -