Oleh AIN MANAF | Foto RIZAL TAHIR
KOTA BHARU: Jangkaan kira-kira 30,000 rakyat Kelantan menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PAS Kelantan menjadi kenyataan apabila diserbu orang ramai sejak awal lagi.
Biarpun jamuan itu bermula jam 11 pagi, namun kesesakan sudah berlaku sejak jam 10 pagi, di mana semua laluan ke Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV sesak.
Bahkan kesesakan itu difahamkan bermula di Wakaf Che Yeh yang terletak kira-kira 5 kilomter dari Stadium Sultan Muhammad IV.
Sebanyak 30 gerai yang menghidangkan pelbagai juadah disediakan yang dikendalikan PAS setiap kawasan di Kelantan. Gerai yang dihiasi cantek menyediakan termasuk sate, ketupat, rendang, lemang, murtabak, nasi gulai kawah dan pelbagai lagi.
Program itu tambah meriah dengan kehadiran pelbagai kaum termasuk ketua-ketua sami dari wat Siam di Kelantan. Hadir sama kaum Cina, India dan Orang Asli.
Turut hadir Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, timbalannya, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed.
Selain itu Pengerusi Bersatu Kelantan Dato’ Kamaruddin Mohd Nor, Speaker Dun Kelantan Dato’ Abdullah Ya’kub, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil rakyat.
Menteri Besarnya berkata, rumah terbuka Aidilfitri dua tahun tidak dapat berikutan penularan wabak Covid-19.
“Selepas kebenaran diberi kerajaan akhirnya rakyat dapat merasai suasana Hari Raya dengan lebih meriah dengan berkumpul bersama keluarga dan sanak saudara,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Pada majlis itu Ahmad dan beberapa pimpinan menyampaikan duit raya kepada 300 kanak-kanak yang hadir.

Program rumah terbuka Aidilfitri juga diadakan di beberapa tempat termasuk Pejabat Pelajaran Daerah Kota Bharu dan Maktab Sultan Ismail di Jalan Telipot. – HARAKAHDAILY 12/5/2022