Kedah bimbang ban runtuh jejas 40,000 pesawah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kerajaan Kedah bimbang sekiranya ban runtuh tidak segera dibaiki ia akan memberi kesan kepada 40,000 petani yang mengusahakan sawah di kawasan seluas 13,500 hektar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sawah terbabit melibatkan satu pertiga kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Katanya, runtuhan ban MADA di Padang Luar, Pelubang Isnin lepas diharap dapat dibaiki segera kerana ia menjejaskan ramai pesawah.

- Advertisement -

“Kami berharap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi perhatian segera isu berkenaan.

“Kos lebih besar diperlukan untuk membina semula ban yang lebih kukuh memandangkan sering berkali limpahan air di kawasan terbabit,” katanya di Wisma Darul Aman, semalam.

MADA sebelum ini memaklumkan kerja-kerja membina semula ban yang runtuh melibatkan kos sehingga RM1.8 juta.

Sanusi juga berkata, agensi terbabit perlu memberi perhatian terhadap isu berkenaan kerana ia melibatkan food security yang boleh menjejaskan penghasilan padi.

“Tambahan pula sekarang musim menanam, air perlu masuk ke petak bendang, sekiranya gagal, kerja-kerja penanaman akan terbantut,” ujarnya.

Sementara itu kerja-kerja membelat sungai dilakukan sejak hari kejadian untuk melimpahkan air ke terusan tengah pada paras yang membenarkan untuk membolehkan Loji Rawatan Air (LRA) beroperasi. – HARAKAHDAILY 12/5/2022

- Advertisement -