KDA FC nafi pemain tidak dibayar gaji

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan mengambil tindakan undang-undang kepada individu yang bertanggungjawab menular kononnya kelab terbabit menghadapi masalah tunggakan gaji sehingga menjejaskan prestasi pemain.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, KDA FC menafikan dakwaan tersebut dan sehingga sekarang proses pembayaran gaji berjalan baik.

Malah katanya tidak berlaku tunggakan gaji seperti mana didakwa pihak terbabit.

“Saya mendapat maklumat ada pihak mendakwa kononnya KDA FC terumbang ambing prestasi pemainnya kebelakangan ini disebabkan tidak dibayar gaji.

“KDA FC akan menyediakan notis saman kepada individu terbabit. Tunggu surat saman tersebut,” katanya di Wisma Darul Aman, semalam.

Advertisement

Sebelum ini tular di media sosial mempertikaikan prestasi pasukan Kedah yang agak kurang memberangsangkan berikutan pemain didakwa empat bulan tidak menerima gaji daripada KDA FC.

Sanusi berkata, isu tersebut sengaja ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab semata-mata untuk menghentam kerajaan di bawah kepimpinannya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, pihaknya menganggap dakwaan tersebut mencemarkan reputasi pasukan, pengurusan dan pentadbiran bola sepak Kedah.

Sehubungan itu beliau menggesa individu berkenaan tampil memohon maaf atas penyebaran maklumat tidak tepat serta tidak bertanggungjawab tersebut.

Dalam masa yang sama pengurusan KDA FC bercadang merujuk kes terbabit ke mahkamah dalam masa terdekat.

Manakala dalam perkembangan sama, menteri besar turut meluahkan perasaan kecewa terhadap prestasi pasukan itu dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Bagaimanapun katanya beliau yakin kelemahan itu akan dapat diatasi kerana kemungkinan hujung bulan ini proses kemasukan pemain baharu berlaku.

“Saya seperti juga peminat lain mahu pasukan sentiasa menang. Sebagai Presiden KFA, saya sentiasa berusaha membantu KDA FC terutamanya berkaitan kewangan.

“Tetapi saya tak mahu mengganggu pasukan dan saya serah kepada KDA FC dan jurulatih untuk meningkatkan prestasi pemain,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 12/5/2022