Bekas pemain kebangsaan derita diabetes kronik

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Pemenang Anugerah Kasut Emas pada tahun 1990, 1993 dan 1994, Mohd Hashim Mustapha, 56, kini uzur kerana menderita penyakit kencing manis yang kronik.

Keadaan kesihatan bekas pemain bola sepak kebangsaan era 1990-an itu juga makin serius selepas terjatuh daripada motosikal beberapa minggu lalu.

- Advertisement -

Hari ini beliau dikunjungi Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di kediamannya di Guchil Bayam dekat sini.

Takiyuddin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan menyampaikan sumbangan peruntukan Pusat Khidmat Parlimen Kota Bharu bagi meringan bebanan kos perubatan Hashim.

“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap ahli-ahli sukan yang banyak berjasa kepada negara. Jasa mereka banyak mengharumkan nama negeri atau negara.

“Walaupun telah bersara sebagai seorang pemain bola sepak, tetapi sehingga kini Hashim masih lagi bertugas sebagai jurulatih di kelab bola sepak.

“Disebabkan kesihatannya makin merosot beliau terpaksa berehat untuk memberi tumpuan kepada kesihatan,” katanya ketika ditemui pada kunjungan tersebut.

Beliau turut menasihati ahli-ahli sukan supaya sentiasa menjaga kesihatan biar pun telah bersara sebagai atlet.

Hashim ketika zaman kegemilangannya pernah menyertai pasukan Kelantan, Kedah FA dan Johor FA. – HARAKAHDAILY 7/5/2022

- Advertisement -