JELI: Kerajaan Kelantan menganjur Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena perayaan Aidilfitri bagi memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap keselamatan jalan raya terutama di musim perayaan.
Anggota Exco Kerajaan Negeri Dr Izani Husin berkata, kempen tersebut penting memandangkan berlaku peningkatan jumlah pengguna jalan raya berbanding pada hari-hari biasa.
Katanya kempen keselamatan jalan raya peringkat negeri diadakan secara serentak di dua lokasi terpilih iaitu di Bukit Bunga, Tanah Merah dan di Kampung Pahi Kuala Krai.
“Program tersebut dua tahun tidak diadakan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19,” katanya pada program terbabit semalam.
Beliau juga berharap pengguna jalan raya memandu dengan penuh berhemah dan berhati-hati memandangkan peningkatan ketara jumlah kenderaan yang pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya.
“Ingat insan yang tersayang. Semoga selamat tiba ke destinasi yang dituju dan dapat berhari raya bersama keluarga di kampung halaman,” ujarnya.
Menurutnya juga program tersebut diadakan sebagai menzahirkan penghargaan kepada petugas-petugas keselamatan yang menjalankan tugasan bagi memastikan kententeraman awam terus dipertahan.
Di samping itu kata beliau kehadiran pemimpin pada kempen tersebut bagi menyambut kepulangan anak-anak perantau yang pulang berhari raya di kampung selepas berdepan dengan PKP selama dua tahun. – HARAKAHDAILY 1/5/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!