KOTA BHARU: PAS Cawangan Dewan Beta dengan Kerjasama Pertubuhan Ummah Prihatin Kota Bharu menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 100 penerima dalam kalangan penduduk miskin.
Pengerusi Ummah Prihatin KB Mohd Nuri Mat Yaakub berkata, setiap penduduk masing-masing menerima RM100, kurma dan pek gulai kawah.
Katanya duit zakat dan sumbangan individu yang diagih sebanyak RM7,000 dan selebihnya dana daripada NGO Ummah Prihatin KB.
“Program itu merupakan aktiviti tahunan anjuran PAS Cawangan Dewan Beta untuk membantu golongan asnaf di mukim Dewan Beta,” katanya selepas majlis penyampaian itu semalam.
Penyampaian sumbangan disempurnakan Ketua PAS Cawangan Dewan Beta Hassan Ibrahim yang diadakan di PASTI Al Husna Dewan.
Nuri yang juga Setiausaha PAS Kubang Kerian turut merakam ucapan terima kasih kepada para penyumbang bagi menjayakan program tersebut.
Kata beliau juga sumbangan tersebut sedikit sebanyak diharap dapat meringankan beban golongan miskin terutama membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Situasi itu dapat dilihat di mana sebahagian daripada 100 penerima sumbangan tersebut merupakan warga emas,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/5/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!