Penyeludup ubah strategi guna jalan laut

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR  PUTEH:
Agensi Penguatkuasa  Martim Malaysia menggagalkan  cubaan menyeludup apabila merampas  sejumlah 21 bungkusan plastik hitam  berisi pelbagai jenis mercun dan bunga  api bernilai RM8,240 berhampiran  Sungai Kemasin  semalam.

- Advertisement -

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, sebaik menerima  maklumat risikan, bot peronda Maritim ditugaskan ke lokasi yang  mencurigakan bagi  tujuan  pemantauan.

“Setibanya  di lokasi jam 4.20 pagi bot peronda  mengesan sebuah bot  dalam keadaan yang mencurigakan dan setelah mereka menyedari kehadiran anggota Maritim mereka  bertindak melarikan diri memasuki perairan Sungai Kemasin,”  katanya pada kenyataan di sini, hari ini.
               
Beliau  berkata, atur gerak kejar dan buru berhasil apabila menemukan bot tersebut namun penyeludup melarikan diri dan gagal dikesan.
               
Katanya, mercun dan bunga api  berkenaan cuba  diseludup masuk melalui laut dari negara jiran untuk dipasarkan  di negeri ini kerana mendapat permintaan tinggi sempena  perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Kata beliau juga penyeludup cuba  mengubah modus operasi menerusi   jalan laut selepas sukar  membawa  masuk secara haram menerusi  sepanjang Sungai Golok dan darat  akibat kawalan ketat pasukan  keselamatan Malaysia.

Beliau  berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan letupan tanpa kebenaran yang sah. – HARAKAHDAILY 29/4/2022

- Advertisement -