Segala tindak-tanduk di bawah pengawasan Allah SWT

- Advertisement -

Nazhafah Diri & Integriti Melalui Juz 27

PENGHAYATAN juz ke-27 hari ini lebih menumpukan kepada gesaan Allah SWT agar setiap hamba-Nya sentiasa muraqabah atau mengawasi diri masing-masing bahawa Allah sentiasa melihat tindak-tanduk mereka.

Setiap apa yang dilakukan oleh manusia sama ada secara zahir atau tersembunyi akan dicatat oleh malaikat dan ia juga akan dibentangkan di hadapan Allah SWT akhirat kelak. Dalam hal ini Allah SWT berfirman:

وَكُلُّ شَیۡءࣲ فَعَلُوهُ فِی ٱلزُّبُرِ. وَكُلُّ صَغِیرࣲ وَكَبِیرࣲ مُّسۡتَطَرٌ

Maksudnya: “Dan tiap-tiap perkara yang mereka lakukan, adalah tertulis di dalam kitab suratan amal. Dan tiap-tiap perkara yang kecil dan yang besar tetap tercatat”. (Al-Qamar: 52-53)

- Advertisement -

Sesungguhnya, setiap manusia itu tidak akan terlepas daripada melihat setiap perlakuan yang dilakukannya ketika hidup di dunia. Tidak ada satu pun yang akan terlepas kerana malaikat yang ditugaskan mencatat amalan sentiasa bersedia mencatat setiap perlakuan mereka. Malaikat tidak pernah lalai melaksanakan tugas yang ditetapkan kepada mereka.

Pada hari perhitungan di akhirat nanti, mulut tidak lagi boleh berbicara sebaliknya anggota manusialah yang akan bercakap menjawab segala persoalan yang dilontarkan.

Tanda keimanan seseorang Muslim itu diukur melalui keyakinannya terhadap kuasa Allah SWT yang sifatnya Al-Raqib atau Maha Mengawasi. Ini menunjukkan bahawa Allah sentiasa mengawasi makhluk-Nya, mendengar apa yang mereka perbincangkan, melihat apa yang mereka lakukan, mengetahui gerak-geri mereka serta apa yang terlintas dalam fikiran.

Demikian itu kata Imam Ahmad bin Hanbal: Apabila suatu ketika engkau berada seorang diri, jangan engkau ucapkan ‘Aku bersendirian’ tetapi ucaplah ‘Ada yang sentiasa mengawasiku iaitu Allah’. Jangan engkau mengira Allah itu lalai sesaat pun. Bagi-Nya, tidak ada yang tersembunyi walaupun sesuatu yang tidak nampak.

Barangsiapa yang hatinya mempunyai keyakinan teguh bahawa Allah itu Maha Mengawasi, Allah itu menyaksikan seluruh gerak-gerinya saat bersendirian mahupun di tengah keramaian, maka hal ini akan mendorongnya untuk melakukan kebaikan yang banyak serta menghalanginya daripada berbuat keburukan. Maqam ihsan atau melakukan suatu amalan seolah-olah kita melihat Allah SWT atau Allah melihat kita dapat dicapai dengan ketinggian iman yang sentiasa dicas.

Apabila iman bertapak kukuh di hati, maka dengan sendiri kita akan terpelihara daripada berbuat kejahatan. Sekiranya datang lintasan untuk berbuat jahat, hati masih mampu mengawal agar perbuatan tersebut tidak terjadi dan Allah SWT memberi kemaafan selagi mana perbuatan jahat tidak dilakukan atau diucapkan. Sabda Nabi SAW:

إِنَّ اللهَ تَجَاوَزَ لِأُمَّتِي مَا حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا مَا لَمْ يَتَكَلَّمُوا أَوْ يَعْمَلُوا بِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memaafkan umatku daripada bisikan jahat dirinya selagi dia tidak mengatakannya atau melakukannya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, jika seseorang itu tewas dan mengikut nafsunya lalu berbuat kejahatan yang datang dalam fikirannya, maka dicatat satu keburukan untuknya. Elakkan segala perbuatan jahat di bulan yang mulia ini kerana sebagaimana kebaikan diberi ganjaran yang berganda, pelaku kejahatan juga akan mendapat dosa yang lebih berat daripada bulan-bulan lain, semoga kita semua dihindari.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
27 Ramadhan 1443/29 April 2022 – HARAKAHDAILY 29/4/2022

- Advertisement -