Kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu meniti usia 18 tahun

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri menaruh harapan tinggi supaya rakyat dapat menyemarakkan agenda pembangunan ilmu apabila negara memasuki fasa endemik Covid-19 dan aktiviti masyarakat kembali seperti biasa.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, harapan itu direalisasikan melalui pembukaan semula kuliah pagi Jumaat di Dataran Medan Ilmu di sini selepas terhenti kerana penularan wabak.

Malah beliau kata beliau, kuliah agama itu tetap diteruskan sebelum ini melalui atas talian walau pun dilihat sukar pada peringkat awal, namun ia dianggap biasa setelah dua tahun dilaksanakan.

- Advertisement -

“Bermula 2004 secara rasmi kita masyhurkan kuliah Medan Ilmu, ini bermakna sudah 18 tahun tempoh kuliah dan selama dua tahun pula secara online. Jadi kita harap selepas ini boleh kembali seperti biasa, dengan kehadiran lebih ramai.

“Kita melalui ujian wabak sehingga berputik kesedaran untuk mengadakan pula kuliah secara online. Namun selepas dibolehkan secara fizikal kesedaran atau keinsafan itu jangan hilang pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan semula kuliah di Dataran Medan Ilmu di sini hari ini. Kuliah itu disampaikan anggota Exco Kerajaan Negeri Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Turut hadir Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Wan Roslan Wan Hamat, Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Dato’ Abdul Fattah Mahmood.

Ahmad turut merakam penghargaan kepada tenaga pengajar di Medan Ilmu yang bertungkus lumus dan tidak pernah mengenal penat lelah memberi ilmu agama kepada rakyat.

Beliau berkata, Medan Ilmu mula dirintis almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi banyak manfaat kepada penduduk dan pelancong barkaitan pelbagai cabang ilmu agama dan kupasan isu semasa.

“Kita tahu berkat Medan Ilmu terlampau banyak, ilmu dapat diambil dari ulama-ulama yang muktabar dan sekali sekala pimpinan PAS pusat turut datang menyampaikan ilmu agama.

“Kita juga belum bebas 100 peratus daripada wabak Covid-19 ini, SOP ditetapkan perlu diambilkira, ini merupakan ujian dari Allah selama dua tahun kemungkinan ada hikmah tertentu,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/4/2022

- Advertisement -