PIHAK Forum Air telah menerima lonjakan aduan menerusi Talian Hotline kami berkenaan masalah gangguan air di Negeri Kelantan sejak beberapa hari yang lalu. Tinjauan di media sosial juga mendapati banyak luahan ketidakpuasan hati penduduk akibat masalah bekalan air yang terputus di waktu yang pada hemat kami sangat kritikal iaitu di ambang rakyat sedang menjalani ibadah puasa dan persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Kegusaran pengguna yang meluahkan rasa kecewa dan ketidakpuasan hati akibat masalah yang berlarutan ini seharusnya tidak dipandang enteng oleh pihak operator iaitu AKSB Sdn Bhd. Ramai juga yang mempertikai tahap keseriusan AKSB dalam menyelesaikan isu rakyat ini apabila alasan sama yang diberikan walaupun pelbagai projek telah dilaksanakan sejak 2016, antaranya Projek Fasa 2 Loji Air Chicha yang dikatakan menambah kapasiti loji sebanyak 40MLD.
Kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air pada 10 September 2020 yang menyatakan masalah bekalan air di Kelantan akan dapat disempurnakan menjelang tahun 2023 seharusnya dijadikan garisan penamat buat pengurusan AKSB sebagai operator yang bertanggungjawab membekalkan air kepada pengguna di Negeri Kelantan bagi membuktikan komitmen mereka selaras dengan komitmen jitu pihak KASA dalam menyelesaikan isu zaman berzaman ini.
Setelah beberapa tahun anak perantau disajikan berita berkenaan masalah air ini, dikeji dan dicaci dek laporan-laporan liar maka inilah masa paling tepat AKSB membuktikan kemampuan sebenar.
Pihak Forum Air amat berkeyakinan menjelang beberapa hari kita semua menyambut Perayaan Aidilfitri ini, kenyataan siaran media oleh pihak AKSB berkaitan persediaan menghadapi lonjakan bekalan air pada musim perayaan Aidilfitri pada 17 April yang lalu merupakan suatu ikrar jitu pihak AKSB dalam menyelesaikan masalah bekalan air ini.
MOHAMED HILMI CHE RAMLI
Presiden
Persatuan Wira Air Forum Air SPAN – HARAKAHDAILY 28/4/2022