Tentera Laut Indonesia rampas 2 kapal bawa minyak sawit

Gambar hiasan kapal tangki minyak sawit
- Advertisement -

JAKARTA: Tentera laut Indonesia merampas dua kapal tangki membawa minyak sawit mentah, olein sawit dan metanol kerana dipercayai melanggar undang-undang negara itu dalam operasi yang dijalankan sehari sebelum larangan eksport minyak sawit berkuat kuasa.

Kapal MT World Progress melanggar spesifikasi kapal dalam dokumen perjalanan, manakala kapal MT Annabelle membawa metanol tanpa permit, kata jurucakap Tentera Nasional Indonesia (TNI) – Angkatan Laut yang ditugaskan untuk menguatkuasakan larangan eksport, berkuat kuasa tengah malam tadi.

- Advertisement -

MT World Progress dalam perjalanan dari Dumai di Sumatera menuju India dengan membawa 34,854.3 tan olein sawit, manakala MT Annabelle yang dirampas di luar Borneo, menuju ke Shajrah di Emiriah Arab Bersatu.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, pada 22 April lalu, mengumumkan sekatan eksport minyak masak dan bahan mentahnya untuk mengawal peningkatan harga tempatan.

Keputusan negara pengeluar terbesar minyak sawit dunia mencetuskan peningkatan harga minyak makan di peringkat global, memandangkan bekalan kini terjejas ekoran cuaca buruk dan kesan pencerobohan Russia di Ukraine.

Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati, berkata larangan eksport minyak sawit Indonesia akan menjejaskan negara lain tetapi langkah itu perlu dalam usaha menurunkan harga minyak masak domestik yang melambung tinggi yang didorong oleh perang Rusia di Ukraine.

Katanya, larangan itu adalah antara langkah paling keras yang boleh diambil kerajaan selepas langkah sebelum ini gagal menstabilkan harga domestik. – REUTERS

- Advertisement -