Kelebihan malam Qadar

- Advertisement -

IMAM al-Qurtubi berkata: “Malam Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan. Ramai ulamak dan ahli tafsir berpendapat amalan dilakukan pada malam Qadar lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya malam Qadar.” Hal ini, disokong oleh Abu al-‘Aliyah.

- Advertisement -

Cukuplah jika kita memperolehi 2 kelebihan yang disediakan Allah pada malam Qadar ini;

1. Pada malam ini, pahala ibadah yang selalu kita buat akan digandakan dengan gandaan yang sangat banyak iaitu lebih baik daripada 1,000 bulan.

Seperti yang telah difirmankan oleh Allah S.W.T dalam surah Al-Qadr ayat 3:

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ

“Malam Laitalul Qadr itu adalah lebih baik daripada seribu bulan.”

Ini memberi isyarat bahawa malam tersebut akan menggandakan pahala ibadah yang kita buat sebanyak 1,000 bulan.

2. Pada malam tersebut juga malaikat beramai-ramai termasuk Jibril akan turun ke bumi. Allah S.W.T Berfirman

تَنَزَّلُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمرٍ

“Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara.”

(Al-Qadr: 4)

Imam Qurtubi menjelaskan: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.”

3. Malam ini juga Allah telah janjikan kesejahteraan kepadanya hingga terbit waktu fajar.

Allah S.W.T berfirman:

سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطلَعِ ٱلفَجر

“Sejahteralah Malam (yang berkat) tersebut hingga terbit fajar.”

Al-Dahhaq berkata: “Allah tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan. Sedangkan Mujahid berpendapat: “Ia merupakan malam selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.”

Jom kita bertungkus lumus untuk mendapatkannya.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Makkahtul Mukarramah – HARAKAHDAILY 28/4/2022

- Advertisement -