Maritim rampas barang seludup RM13.4 juta sejak 2018

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia Cawangan Kelantan merampas pelbagai barangan seludup yang bernilai RM13.4 juta pada Operasi Khas Pagar Laut bermula 2018 sehingga sekarang.

Pengarahnya, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, operasi itu diadakan dua minggu sebelum dan dua minggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk menghalang penyeludup mengambil kesempatan di musim perayaan.

- Advertisement -

Katanya, rampasan itu termasuk melibatkan aktiviti penyeludupan dadah, Pendatang Tanpa Izin (PATI) dan penecerobohan nelayan asing yang menangkap ikan di perairan negara.

“Rampasan terbesar membabitkan penangkapan 11 bot nelayan asing Vietnam melibatkan nilai sebanyak RM12.5 juta dan cubaan menyeludup rokok bernilai hampir RM900,000.

“Operasi tahun ini di perairan Kelantan bermula 19 April lepas melibatkan 70 peratus daripada 160 pegawai dan anggota dengan kekuatan sebuah kapal dan tiga bot,” katanya pada sidang media sempena pelancaran operasi khas berkenaan di Ibu Pejabat Maritim di sini hari ini.

Syed Nor Adli juga berkata, pihaknya membuat rondaan di sepanjang pantai bermula di sempadan Terengganu sehingga Tumpat yang bersempadan dengan Thailand.

Kata beliau juga setiap peronda Maritim membawa kelengkapan menyelamat dan tumpuan khusus di kawasan pantai yang dijangka mendapat perhatian iaitu Pantai Sri Tujuh, Pantai Cahaya Bulan, Pantai Irama, Pantai Bisikan Bayu dan Tok Bali.

Menurutnya gerakan itu sebagai persiapan kepulangan kira-kira 2 juta rakyat Kelantan yang berada di perantauan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Tambahan pula Kelantan sedang menghadapi musim kemarau menyebabkan kawasan pantai menjadi pilihan pengunjung beriadah bersama keluarga,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/4/2022

- Advertisement -