Oleh AIZAL SAMSARUDDIN & YUSRIZAL BACO
SANDAKAN: PAS Sandakan sentiasa mengambil peduli terhadap nasib asnaf dan rakyat yang memerlukan bantuan di daerah itu bagi membantu meringankan beban golongan terbabit.
Yang Dipertua PAS Sandakan, Sahar Abdul Majid berkata, banyak program menyampaian sumbangan untuk asnaf dan rakyat miskin dianjurkan bagi memastikan mereka dapat meraikan Ramadan dengan lebih ceria.
Selain itu katanya pek sahur dan sungkai turut diagih bagi menyantuni petugas perubatan di Hospital Sandakan yang terpaksa bersengkang mata merawat pesakit.
“Begitu juga pengawal keselamatan yang bertugas di hospital diagih juadah sahur. Manakala pek sungkai diagih kepada asnaf di sekitar Kampung Forest,” katanya ketika ditemui selepas mengagih pek makanan sahur semalam.
Sementara itu di LAHAD DATU, Khidmat Malaysia PAS Sabah menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Sabah Baru.
Sahar yang juga Pengerusi Khidmat Malaysia Sabah berkata, sumbangan itu diagih di pusat pemindahan sementara di Dewan Tun Mustapha dekat sini semalam.
Kata beliau program itu sebagai bukti semangat kasih sayang kepada penduduk yang ditimpa sesuatu musibah.
“Apabila saudara kita ditimpa musibah, maka sudah menjadi tanggungjawab sesama Muslim tolong-menolong antara satu sama lain tanpa mengira kaum,” katanya pada program tersebut.
Pada 19 April lepas sebanyak 30 rumah penduduk di Kampung Sabah Baru musnah dalam kebakaran, di mana seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemui rentung.
Pada program tersebut 17 keluarga menerima sumbangan set kelengkapan solat, bakul makanan dan kelengkapan persekolahan yang disumbang Khidmat Malaysia Sabah dan PAS Lahad Datu.
Turut hadir Timbalan Yang Dipertua PAS Lahad Datu Kunak Kasman Karate, Ketua Dewan Muslimat kawasan Mia Habba dan Pengerusi Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS kawasan berkenaan Nizam Latuah.
Sahar juga berkata, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Sabah turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa kebakaran terbabit.
Selain itu pada Khamis lepas Khidmat Malaysia menyediakan minuman kepada petugas RELA, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertugas di lokasi kejadian. – HARAKAHDAILY 25/4/2022