Banyak pihak bantah cadangan bina kasino di Sabah

- Advertisement -

Oleh MUSTAMAN MUSTAIN

SANDAKAN:
Cadangan seorang pemimpin politik supaya dibina kasino bagi membangunkan ekonomi Sabah dianggap tidak munasabah kerana ia boleh mencalarkan imej negeri ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, Hendri Hamsah berkata pihaknya menerima banyak bantahan daripada masyarakat khususnya umat Islam yang melihat cadangan itu tidak releven dan amat sensitif.

- Advertisement -

Katanya lebih-lebih lagi cadangan tersebut dikemukakan ketika umat sedang menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan sekarang.

“Saya menyeru semua pihak khususnya badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan organisasi masyarakat untuk bersama-sama tampil menyatakan bantahan terhadap cadangan tersebut,” katanya di sini.

Cadangan supaya dibuka kasino di kawasan pelancongan di Sabah dikemukakan seorang pemimpin STAR baru-baru ini sehingga mengundang keresahan umat Islam di negeri terbabit.

Hendri juga berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha untuk membangunkan ekonomi negeri, namun tidak melibatkan perkara yang melalaikan serta mewujudkan masalah sosial dalam masyarakat seperti judi dan arak.

“Sebaliknya kerajaan perlu perkasakan sektor ekonomi sedia ada seperti pelancongan, pertanian dan pembuatan dengan membuka peluang kepada pemain industri serta pelabur meneroka ruang-ruang inovasi bagi memajukan sektor-sektor berkenaan,” kata beliau.

Menurutnya juga Sabah terkenal sebagai negeri pelancongan yang kaya dengan alam semula jadi menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara. – HARAKAHDAILY 25/4/2022

- Advertisement -