Pusat bantu mantap bina institusi keluarga di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agensinya sedia berkolaborasi dengan Pusat Mawaddah yang ditubuhkan kerajaan negeri untuk mewujudkan kemahiran keibubapaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, ia seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Katanya dengan kerjasama dua pihak itu, diharap mampu menghasilkan impak yang baik terhadap hasrat kerajaan untuk memantapkan lagi pembinaan institusi kekeluargaan dan keibubapaan di Kelantan.

- Advertisement -

“Kita sedia untuk ganding bahu dengan Pusat Mawaddah untuk kita bangunkan kemahiran keibubapaan bersama kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik).

“Dengan kerjasama ini juga mampu menghasilkan kesan yang baik bagi mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan di Kelantan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Mawaddah di sini hari ini.

Hadir sama Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato’ Mumtaz Md Nawi; timbalannya, Rohani Ibrahim dan Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kelantan Dr Hasnan Ramli.

Pusat Mawaddah ditubuhkan bagi merealisasikan Dasar Keluarga Mawaddah Kelantan yang terletak di perkarangan Stesen Bas Kota Bharu yang bertujuan memperkasakan institusi keluarga.

Idris juga berkata perkara kedua yang diberi tumpuan aspek pendidikan kanak-kanak yang tidak boleh diabaikan bagi memastikan masa depan mereka dan negara terus berjaya pada masa akan datang.

Beliau turut bersyukur kerana Kelantan dilimpahi banyak institusi pendidikan termasuk pondok yang menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk tempatan, malah masyarakat dari luar negara.

“Institusi pendidikan yang menyemai dengan nilai-nilai dan ilmu keagamaan turut mendapat sokongan kerajaan negeri melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) bahkan peruntukan yang besar dalam belanjawan setiap tahun.

“Inilah yang saya lakukan juga dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, soal pendidikan saya sangat beri tumpuan dengan sebaik mungkin bagi kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Pusat Mawaddah dianjurkan oleh Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kelantan (Jaheik) bagi memperkasakan institusi keluarga.

Selain merealisasikan Dasar Keluarga Mawaddah Negeri Kelantan, ia merupakan satu asas kukuh kepada pembangunan sesebuah negara yang dibangunkan sebagai pusat fundamental dalam pembinaan masyarakat.

Pusat Mawaddah sebelum ini dikenali sebagai Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK) di bawah seliaan Jaheik telah diberikan nafas baru di bawah seliaan U-KeKWa untuk memantapkan kerjasama strategik.

Pelbagai inisiatif turut diadakan bagi pembangunan keluarga iaitu pelantikan 20 orang Mawaddah Support Team setiap Parlimen bersamaan 280 orang di seluruh Kelantan yang bermula awal Februari tahun lalu.

Selain itu aktiviti dilaksanakan iaitu Slot Tanya Khabar dua kali sebulan, Kelas Tahsin Online Muslimat empat kali sebulan, agihan iftor kepada 100-200 orang masyarakat setempat dan sebagainya.

Pihaknya turut merancang untuk mengadakan tarbiatul aulad, forum bicara khas isu keganasan rumah tangga, bengkel bina keluarga mawaddah, kelas al Quran pada cuti Sekolah bagi darjah satu hingga tingkatan lima. – HARAKAHDAILY 16/4/2022

- Advertisement -