Adun Penaga bantu mangsa kebakaran

- Advertisement -

Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD

KEPALA BATAS:
Empat keluarga yang rumah mereka musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Kuala Muda dekat Penaga di sini pada pagi Khamis lalu menerima sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah.

Menurut Mohd Yusni, beliau melawat ke tempat kejadian pada hari kejadian sebaik mendapat tahu empat buah rumah penduduk hangus terbakar dijilat api.

Ujarnya yang dihubungi kelmarin, sedikit sumbangan dihulurkan beliau kepada mangsa kebakaran manakala bantuan susulan akan disalurkan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Zakat Pulau Pinang.

- Advertisement -

“Saya maklumkan kepada mangsa kebakaran jika mereka memerlukan tenaga untuk kerja-kerja pembersihan kita akan turunkan anggota Jabatan Amal Malaysia Pulau Pinang untuk membantu mereka,” ujar Ustaz Mohd Yusni.

Sebelum itu, beliau memuat naik status di Facebooknya mengucapkan salam takziah kepada mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran itu.

“Jam 11 pagi tadi saya turun membuat tinjauan dan menziarahi mangsa-mangsa yang terlibat dalam kebakaran awal pagi tadi.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, hanya ungkapan inilah yang terkeluar dari mulut saya ketika melihat keempat-empat buah rumah yang didiami oleh keluarga Mak Njang Shima, Mak Yang, Mek Wan dan Makcik Timah musnah dijilat api.

“Berat ujian yang terpaksa ditempuh oleh mangsa-mangsa kebakaran dibulan Ramadan ini apabila rumah tempat mereka berteduh musnah dalam sekelip mata.

“Untuk sabar memang mencabar, setiap kepahitan yang dirasai akan ada kemanisan di hujungnya,” tulisnya.

Dalam lawatan itu, turut bersamanya Pengarah Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Pulau Pinang, Muhammad Nazrul B Ali, Pengerusi Khidmat Malaysia Kawasan Kepala Batas, Sobhi Omar, pegawai Pusat Khidmat Adun Penaga, bersama penduduk tempatan.

Sementara itu, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 6.49 pagi. Empat buah rumah yang musnah dijilat api terletak sebelah menyebelah antara satu sama lain.

Api kebakaran yang memusnahkan 80 peratus struktur rumah berjaya dikawal pada jam 7.18 pagi. Dilaporkan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dalam kejadian kebakaran itu.

Kerja-kerja mengawal dan memadamkan api kebakaran dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda dan Kepala Batas sambil dibantu BBP Bertam.

Dalam pada itu, bagi meringankan beban mangsa kebakaran lebih-lebih lagi dalam suasana umat Islam sedang menjalani ibadah puasa dan bakal menyambut Aidilfitri, Mohd Yusni menyeru sumbangan orang ramai untuk saling membantu.

Sumbangan boleh disalurkan atas nama MYMP UMMAH RESOURCES di akaun Maybank, 557250065963. – HARAKAHDAILY 16/4/2022

- Advertisement -