Tidak akan terpadamnya cahaya Islam

- Advertisement -

SESUNGGUHNYA manusia yang mengharapkan kematian sunnah dan menambah-nambah kebatilan yang mereka suka dalam agama itu ada pada setiap zaman. Mereka ini pada hakikatnya ingin memadam cahaya Allah SWT, sedangkan Islam tidak akan luput atas muka bumi Allah SWT.

Bahkan, perancangan dan usaha mereka untuk merosakkan Islam sebenarnya menjadi asbab semakin tertegaknya Islam. Benarlah janji Allah SWT dalam firman-Nya:

يُرِيدُونَ أَن يُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّهُ إِلَّا أَن يُتِمَّ نُورَهُ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: “Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” [Surah al-Taubah: 32].

- Advertisement -

Hari ini kita menyaksikan umat Islam bangkit mempertahankan Islam daripada dimasuki perkara-perkara yang tiada kaitannya dalam agama. Umat Islam tidak boleh menerima dan tidak bersama dengan mereka yang merosakkan agama, kerana hakikatnya mereka memahami agama Islam itu sendiri. Atas sebab itulah agama ini dapat dipertahankan dari kesesatan dan penyelewengan.

Sangat membimbangkan jika umat Islam menjadi lemah dan menyimpang daripada ajaran Islam. Yang dirisaukan, jika Allah SWT tidak memadamkan cahaya Islam, tetapi apa yang dipadam ialah umat Islam yang jauh menyimpang itu. Firman Allah SWT:

وَإِن تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُم

Maksudnya: “Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berjuang) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.” [Surah Muhammad: 38].

YB DATUK AHMAD MARZUK SHAARY
12 Ramadan 1443H / 14 April 2022

https://m.facebook.com/marzukshaary/posts/542986917388353

- Advertisement -