Bantu tangkap Frank L James: Pemuda Islam dijulang wira New York

Zack Tahhan sedang ditemu bual sekumpulan wartawan di Manhattan, New York pada 14 April 2022 (FOTO en.vogue.me)
- Advertisement -

NEW YORK: Seorang pendatang Syria berusia 21 tahun, Zack Tahhan dijulang sebagai wira New York susulan kejayaannya membantu pihak polis menahan Frank L James pada Rabu (13 April), suspek kejadian serangan kereta api bawah di Brooklyn Selasa (12 April) lalu.

Sehubungan itu, nama juruteknik kamera keselamatan Islam itu kini tular dengan hashtag #ThankYouZack menjadi trending di platform media sosial.

- Advertisement -

Pada hari kejadian, pemuda tersebut sedang mengemas peralatan di sebuah kedai di East Village, Manhattan apabila dia terlihat suspek melalui salah satu kamera keselamatan.

Tahhan lalu berlari keluar ke jalan raya, mengikuti suspek dan memberi amaran kepada orang  ramai di sekelilingnya supaya menjaga jarak daripada lelaki kulit hitam berusia 62 tahun itu.

“Orang ramai fikir saya gila, mungkin menganggap saya ambil dadah. Tetapi saya tidak (gila atau ambil dadah). Saya sedang berpuasa,” katanya.

Zack Tahhan sedang menjalani ibadah puasa ketika membantu pihak polis New York menahan Frank L James di Manhattan, New York pada 13 April 2022. (FOTO Twitter.com)

Menurutnya, apa yang berada dalam fikirannya ketika itu adalah untuk membantu pihak polis New York (NYPD) menahan James.

“Saya fikir, ‘Ya Tuhanku, inilah lelaki itu (Frank L James) itu, kita perlu menangkapnya. Dia berjalan di jalan raya. Saya melihat kereta polis, saya berkata, ‘Yo, ini lelaki itu’. Kami (berjaya) menangkapnya, alhamdulillah,” jelasnya yang tiba di AS lima tahun lalu dari Syria dan sejak itu telah menetap di New Jersey.

Dalam klip yang dikongsi dan tular di media sosial, Tahhan dilihat menjelaskan peristiwa itu kepada  sekumpulan wartawan dan warga New York yang berada berhampiran tempat beliau ditemu bual media.

Dalam sekelip mata, Tahhan telah dijulang sebagai  wira New York dan meraih pujian daripada golongan ahli politik, wartawan dan penduduk bandar raya itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Demokratik AS, Jamie Harrison melalui Twitternya  mengucapkan terima kasih kepada Tahhan, manakala Peguam Negara New York Letitia James tweet video beliau, berkata: “Terima kasih atas keberanian anda hari ini, Zack. Semua warga bersyukur.”

Pemuda Syria ini tiba di Amerika Syarikat sejak lima tahun dan kini menetap di New Jersey (FOTO Insider.com)

Ahli majlis New York, Robert Holden dalam kenyataan pula berkata: “Terima kasih, Zack Tahhan. (Anda) terbaik!”

Pengarang  New York Times, Alafair Burke menulis tweet: “Terima kasih #ZackTahhan. (Berjaya) Mengenal pasti suspek #BrooklynSubwayAttack semasa sedang bekerja dan menghubungi polis. Sesiapa sahaja kini boleh menjadi #wira. #NewYorkStrong

Terdahulu, dalam kejadian pada 8.30 pagi 12 April itu, James disyaki melancarkan bom asap dan melepaskan tembakan rambang di dalam kereta bawah tanah di Brooklyn yang  mencederakan 23 orang, 10 daripada akibat tembakan berkenaan.

Penahanan James berlaku 30 jam selepas serangan semasa pengguna kereta api bawah berpusu-pusu untuk ke tempat kerja melalui  laluan-N menghala ke Manhattan memasuki stesen bawah tanah di komuniti Sunset Park Brooklyn.

Insiden telah menimbulkan kebimbangan terbaharu terhadap keganasan dan keselamatan orang awam yang menggunakan sistem kereta api bawah tanah di bandar raya dengan populasi mencecah 18 juta orang itu. – Agensi