PAS Selangor alukan Ismail Sabri PM selepas PRU15

- Advertisement -

PAS Selangor mengalu-alukan cadangan Majlis Kerja Tertinggi Umno baru-baru ini untuk mengekalkan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, seorang pemimpin yang berintegriti dan diterima rakyat, sebagai calon Perdana Menteri Malaysia.

- Advertisement -

Sesungguhnya YAB Dato Seri telah membuktikan kemampuan beliau sebagai seorang Perdana Menteri yang berjaya khususnya dalam menyatupadukan rakyat Malaysia di bawah konsep ‘Keluarga Malaysia‘. Selaku Perdana Menteri beliau juga telah berupaya mengemudi negara keluar dari pandemik COVID-19 serta memulihkan kesannya ke atas kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

PAS Selangor cukup rapat dan memiliki pengalaman berkerja yang baik dengan YAB Dato’ Seri khasnya ketika beliau mengetuai jentera Umno atau Barisan Nasional Negeri Selangor selaku Pemangku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor dalam Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih sehingga berjaya mengalahkan calon Pakatan Harapan ketika itu.

Semangatnya untuk menyatupadukan ummah dan membina kekuatan Muafakat Nasional Selangor ketika itu untuk menumbangkan Kerajaan Negeri PH Selangor mencerminkan kegigihan dan jati diri beliau sebagai seorang pemimpin yang berkaliber dan punya masa depan yang baik.

PAS Selangor mendoakan agar cadangan ini kekal dan terlaksana selepas PRU15 ini dengan harapan kestabilan negara dapat dikecapi dan rakyat dapat hidup aman dan sejahtera dalam negara kita yang tercinta.

DATO’ DR AHMAD YUNUS HAIRI
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor
Jumaat, 15 April 2022 | 13 Ramadan 1443 – HARAKAHDAILY 15/4/2022

- Advertisement -