AMAL Temerloh edar juadah berbuka puasa

- Advertisement -

TEMERLOH: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kawasan Temerloh bersama pimpinan Dewan Pemuda PAS Temerloh mengedarkan juadah berbuka puasa kepada orang ramai di sekitar Stesen Bas Temerloh, di sini hari ini. 

Sebanyak 200 bungkus makanan telah diagihkan oleh delegasi ini sebagai usaha mengimarahkan Ramadan dan juga menyantuni warga masyarakat yang mengadakan pelbagai urusan di sekitar bandar ini.

- Advertisement -

Ketua Komandan AMAL Temerloh, Ahmad Safwan Akmal memimpin 20 anggotanya dan turut disertai pimpinan Pemuda PAS Temerloh di stesen itu termasuk kepada para peniaga di setiap kedai yang beroperasi.

Antara pimpinan Pemuda PAS Temerloh yang turut bersama pada program ini adalah Ketua, Timbalan dan Naib Ketua Pemuda, Ustaz Muhammad Shukri Shuib, Badli Ahmad dan Ustaz Muhamad Hirman Abd Khairi.

Menurut Ustaz Shukri, program ini juga bertujuan merapatkan silaturrahim sesama umat Islam yang sedang menjalani ibadat puasa di samping melatih diri berkorban masa, tenaga serta harta di jalan Allah S.W.T. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penyumbang dalam menyediakan juadah berbuka puasa tersebut sebagai infak Ramadan yang didoakannya agar diganjari keberkatan dari Allah S.W.T. 

Salah seorang penerima, Ahmad Tarmizi Husin berkata, beliau tersentuh hati melihat rakan-rakan bukan-Muslim juga menerima juadah tersebut dan berharap akhlak baik itu akan memberikan sinar taufik dan hidayah untuk mereka menerima Islam suatu hari nanti. – HARAKAHDAILY 15/4/2022

- Advertisement -