Berdisiplin dan beretika asas kejayaan

- Advertisement -

Nazhafah Diri & Integriti Melalui Juz 9

ALLAH SWT mewajibkan berperang apabila berlaku serangan ke atas umat Islam. Berperang merupakan perintah Allah SWT kepada orang Islam dalam beberapa keadaan dan bukannya kewajipan mutlak semasa waktu aman. Setelah berada dalam peperangan, disiplin berperang mesti diikuti. Tentera Islam tidak boleh sama sekali lari daripada angkatan perang kerana ia menyebabkan kekalahan dan mengundang kemurkaan Allah. Firman Allah SWT:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِذَا لَقِیتُمُ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ زَحۡفࣰا فَلَا تُوَلُّوهُمُ ٱلۡأَدۡبَارَ. وَمَن یُوَلِّهِمۡ یَوۡمَىِٕذࣲ دُبُرَهُۥۤ إِلَّا مُتَحَرِّفࣰا لِّقِتَالٍ أَوۡ مُتَحَیِّزًا إِلَىٰ فِئَةࣲ فَقَدۡ بَاۤءَ بِغَضَبࣲ مِّنَ ٱللَّهِ وَمَأۡوَىٰهُ جَهَنَّمُۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمَصِیرُ.

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka. Dan sesiapa berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu, kecuali dia bergerak ke arah lain untuk menjalankan tipu muslihat peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya dia tetap mendapat kemurkaan daripada Allah, dan tempatnya ialah neraka jahanam. Sedang neraka jahanam ialah seburuk-buruk tempat kembali”. (Al-Anfal: 15-16)

- Advertisement -

Keluar atau lari daripada medan perang hakikatnya menyebabkan kekalahan dan boleh mengakibatkan kecederaan teruk kepada tentera yang masih berada di medan. Demikian itu Allah SWT mengancamnya dengan neraka Jahanam.

Selain itu, imej Islam sendiri tercalar di mata musuh dan Islam dilihat lemah serta takut berhadapan pihak lawan. Oleh itu, lari daripada medan perang termasuk dosa yang membinasakan yang sentiasa diingatkan oleh Rasulullah SAW untuk dijauhi, sabda Nabi SAW:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ وَالسِّحْرُ وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ.

Maksudnya: “Jauhilah tujuh dosa yang membinasakan. Mereka (para sahabat) bertanya: Wahai Rasulullah, apakah itu? Baginda menjawab: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang Allah haramkan kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, berpaling dari perang yang sedang meletus, menuduh zina terhadap wanita-wanita merdeka yang menjaga kehormatan, yang beriman dan bersih daripada zina”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Konsep perang ini mesti diaplikasikan dengan baik dalam gerak kerja bermasyarakat. Sekiranya bermula daripada pimpinan sehinggalah rakyat dapat melaksanakan peranan mengikut taklifan Syariat Islam, sebuah pembangunan masyarakat sejahtera dapat dibangunkan dengan mudah. Betapa peripentingnya seseorang Muslim itu berusaha sedaya upaya menjaga taklifan dan ketetapan yang telah diputuskan. Perlu diingat bahawa kejayaan pertama ialah apabila kita berdisiplin dan mematuhi segala arahan baharulah kita akan dikurniakan Allah SWT kemenangan berikutnya dalam lapangan masing-masing.

Ia ibarat kita mematuhi Kod Etika Profesional sebagai landasan dalam menjalankan pelbagai kerja dengan lebih teratur dan lebih baik. Kod ekita inilah yang memandu dan mengingatkan ahli-ahli mengenai keputusan yang perlu diambil dan tingkah laku yang sepatutnya apabila berada di dalam sesuatu keadaan. Di samping ia juga berperanan untuk menyiasat sebarang penyelewengan ahli-ahlinya apabila terdapat sebarang aduan diterima. Dengan itu, ia dapat mengurangkan penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang berkuasa dan berpangkat serta mempunyai kedudukan tertentu dalam sesebuah organisasi atau jabatan. Pematuhan seperti inilah yang diperlukan dan wajib diamalkan oleh seluruh umat Islam supaya kekal menjadi umat yang berdisiplin dan beretika.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
9 Ramadhan 1443/11 April 2022 – HARAKAHDAILY 11/4/2022

- Advertisement -