Jawatankuasa Pilihan Khas kaji RUU Antilompat Parti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, semalam, memutuskan untuk menyerahkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, sebelum itu mengemukakan usul berkaitan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas yang bertujuan untuk meneliti dan memuktamadkan draf RUU Pindaan Perlembagaan dan RUU berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

- Advertisement -

Persetujuan secara sebulat suara dicapai selepas diputuskan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon.

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat diadakan untuk membentang dan membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dengan seramai 59 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan.

Dr Wan Junaidi berkata, perbahasan RUU antara lain berkaitan pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan punca kuasa bagi membolehkan suatu akta khusus berhubung larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal dan diluluskan di Parlimen.

Sebelum Mesyuarat Khas bermula, katanya satu mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) telah diadakan dan tiga perkara telah dipersetujui, iaitu:

(i) Penelitian dan pengkhususan tafsiran bagi larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti;
(ii) Cadangan untuk memansuhkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan, termasuk mana-mana pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan yang dianggap perlu; dan
(iii) Menggubal suatu undang-undang khusus berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Beliau turut mengumumkan akan mempengerusikan Jawatankuasa Pilihan Khas dengan keahlian seramai 10 Ahli Parlimen, iaitu Dato’ Sri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas),

Dato’ Seri Hamzah Zainudin (Bersatu-Larut), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu), Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti), Gobind Singh Deo (PH-Puchong), Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran), Datuk Seri Saifuddin Nasution (PH-Kulim Bandar Baharu) dan Datuk Ignatius Dorell Leiking (Warisan-Penampang).

Katanya, Jawatankuasa Pilihan Khas diberikan kebebasan untuk menjemput mana-mana pihak berkaitan seperti Ahli Parlimen, pakar perundangan dan perlembagaan, badan bukan berkepentingan (NGO) dan Masyarakat Madani serta individu lain untuk hadir dalam persidangan Jawatankuasa Pilihan Khas dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Mesyuarat Khas Dewan Negara yang dijadual hari ini, dibatalkan berikutan RUU Perlembagaan Persekutan (Pindaan) (No.3) 2022 akan dikaji semula melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah, dalam satu kenyataan rasmi yang memberitahu pihaknya telah menerima pemakluman mengenai perkara itu daripada Perdana Menteri yang juga Ketua Majlis. – HARAKAHDAILY 12/4/22

- Advertisement -