Polis pantau kawasan sempadan kekang penyeludupan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Jajahan Pasir Mas dan Tumpat yang bersempadan dengan negara jiran dikenal pasti menjadi laluan aktiviti penyeludupan mercun dan bunga api ke negara ini menjelang musim perayaan.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, kedua-dua lokasi terbabit kini dipantau rapi anggota polis bertujuan mengekang kegiatan berkenaan.

Malah katanya, penguatkuasaan serta sistem kawalan sedia ada turut diperketatkan.

- Advertisement -

Kata beliau Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor membuat pemantauan di lokasi terbabit dan perairan yang sering menjadi tumpuan penyeludup.

“Pihak polis sedaya upaya menangani masalah itu. Saya juga mengarahkan Ketua Polis Daerah (KPD) di kawasan terbabit supaya mengetatkan lagi pemeriksaan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti.

“Dua daerah terbabit menjadi laluan mudah bagi kegiatan penyeludup, namun pasukan pemantau ditempatkan di lokasi-lokasi tertentu bagi memantau penyeludup daripada membolosi masuk ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Iftar PDRM bersama Media Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini semalam.

Menurutnya juga permintaan terhadap produk berkenaan lazimnya meningkat menjelang Aidilfitri.

Namun katanya, beberapa tangkapan membabitkan mercun dan bunga api di kawasan sempadan dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi menghalang penyeludupan barangan tersebut. – HARAKAHDAILY 7/4/2022

- Advertisement -