Pelawat luar meningkat selepas sempadan negara dibuka

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merekodkan sebanyak 252,730 pengembara yang masuk dan keluar melalui pintu-pintu masuk utama di Malaysia sehingga 4 April lalu sejak pembukaan semula sempadan negara 1 April. 

Kemasukan pengembara itu direkod menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor, Padang Besar di Perlis, Bukit Kayu Hitam di Kedah Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di Sabah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Pintu Masuk Sungai Tujoh di Sarawak.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, berdasarkan jumlah tersebut, seramai 126,392 (ketibaan) dan 28,301 (berlepas) merupakan warganegara Malaysia manakala 55,121 (ketibaan) dan 42,916 (berlepas) adalah pengembara warga asing.

- Advertisement -

Katanya, lima negara yang merekodkan jumlah pelawat tertinggi adalah Singapura (65,165), Thailand (7,841), Indonesia (5,173), India (2,477) dan United Kingdom (1,485).

Tambahnya, pintu masuk negara yang mencatatkan jumlah pergerakan warga asing yang tertinggi adalah di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) (160,818), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (38,407), Kompleks Sultan Abu Bakar (Link Kedua) (53,113), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) (11,712) dan Bukit Kayu Hitam (6,980).

Selain itu, ujarnya pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa juga mencatatkan peningkatan yang mendadak.

“Bagi tempoh 1 hingga 4 April 2022, sebanyak 12,923 naskah pasport telah dikeluarkan di semua Pejabat Imigresen seluruh negara dan dijangka akan terus meningkat berikutan orang awam memanfaatkan pembukaan sempadan bagi tujuan melancong keluar negara dan mengerjakan ibadah umrah,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini. 

Menurutnya lagi, berdasarkan statistik di atas, terdapat peningkatan yang ketara berbanding sebelum sempadan negara dibuka.

Katanya, pergerakan keluar masuk warga asing mencatatkan peningkatan sebanyak 76.4 peratus manakala pengeluaran pasport merekodkan peningkatan sebanyak 38.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada bulan Mac 2022.

Beliau berkata, JIM akan terus bekerjasama dengan lain-lain agensi bagi memastikan pergerakan di pintu-pintu masuk negara berjalan dengan lancar.

Walau bagaimanapun, ujarnya JIM mengingatkan orang ramai terutamanya pengembara/pelawat asing supaya sentiasa mematuhi protokol Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan peraturan-peraturan Imigresen yang telah ditetapkan.

“Kepada rakyat Malaysia, mereka dinasihatkan supaya menyemak rekod senarai hitam dalam portal JIM atau kiosk yang terdapat di KLIA,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/4/2022

- Advertisement -