Umar samakan Raja Jablah dengan orang awam

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 34)

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

ABU Amru As-Shaibani berkata: Apabila Jablah bin Al-Aiham Al-Ghassani dari kalangan raja keluarga Jufnah masuk Islam, beliau menulis surat kepada Umar al-Khattab meminta izin datang ke Madinah.

Umar izinkan. Raja Jablah keluar bersama 500 ahli keluarganya dari Akka dan Ghassan, hingga apabila hampir dua marhalah, beliau menulis surat kedatangannya. Umar gembira. Beliau bersiap menyambutnya. Raja Jablah menitahkan 200 orangnya memakai pedang dan sutera, menaiki kuda berhias dengan emas dan perak. Raja Jablah sendiri memakai mahkota.

- Advertisement -

Beliau tiba di Madinah. Umar menyambut dan meraikannya.

Umar ingin mengerjakan haji. Raja Jablah juga ikut serta. Ketika Raja Jablah tawaf di Kaabah, dan ketika itu orang sangat ramai, seorang lelaki dari Bani Fazarah terpijak kainnya.

Kain itu terungkai. Raja Jablah mengangkat tangannya lalu mencederakan hidung lelaki tadi.

Dia mengadu kepada Umar. Umar memanggil Raja Jablah, lalu bertanya: Apa ini?

Jawab Raja Jablah: Ya! Wahai Amir al-Mukminin. Dia sengaja pijak kain aku. Kalau tidak kerana kehormatan Kaabah, tentu aku hayun pedang ini antara dua matanya.

Umar menjawab: Engkau sudah mengaku. Jadi samada engkau menjadikan dia redha, atau aku biarkan dia balas engkau.

Raja Jablah bertanya: Apa engkau nak buat dengan aku?

Umar menjawab: Aku suruh dia cederakan balik hidung engkau sebagaimana engkau buat kepadanya.

Raja Jablah bertanya: Mana boleh wahai Amir al-Mukminin! Dia hanya peniaga di pasar sedangkan aku raja?

Umar berkata: Islam menghimpunkan engkau dan dia. Tidak ada kelebihan melainkan dengan taqwa.

Raja Jablah berkata: Aku ingat bila aku masuk Islam, aku lebih mulia dari zaman jahiliah?

Umar berkata: Tinggalkan perkara itu. Jika engkau tidak menjadikan lelaki itu redha, aku akan biarkan dia balas engkau.

Jawab Raja Jablah: Kalau begitu, aku nak masuk Kristian.

Jawab Umar: Kalau engkau masuk Kristian, aku pancung leher kamu, kerana engkau sudah masuk Islam. Kalau engkau murtad, aku bunuh kamu.

Apabila Raja Jablah melihat kesungguhan Umar, dia berkata: Nanti aku tengok perkara ini malam ini.

Di depan pintu rumah Umar, ramai yang sudah berhimpun, hingga hampir tercetus fitnah.

Apabila waktu sudah lewat petang, Umar benarkan dia pergi.

Apabila manusia tidur, keadaan agak sunyi, Raja Jablah menunggang kudanya dan membawa rombongannya menuju Syam. Apabila waktu pagi, dia sudah berada di Balqa’, kemudian ke Kostantinopel. Beliau menemui Hercules, lalu dia masuk Kristian bersama kaumnya.

Dalam satu riwayat mengatakan beliau menyesal atas tindakannya dan bersyair mengenainya. (Al-Aghaani, Abul-Farj al-Asfahani 14/504)

Kita boleh melihat betapa Islam meletakkan persamaan, tiada beza taraf apabila berdepan dengan hak manusia dan kezaliman yang dilakukan ke atasnya.

Emas, perak, kuasa, kekayaan tidak menjadikan Saidina Umar terpana dan hilang punca mengendalikan isu hak dan keadilan yang wajib ditegakkan.

Raja Jablah sebenarnya sudah berada dalam cahaya Islam yang terang. Namun, kelebihan yang ada kepadanya disangka lebih baik daripada nikmat Islam yang didapatinya, lalu dia kembali dalam kegelapan yang merugikannya dunia dan akhirat. – HARAKAHDAILY 31/3/2022

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -