Tiga syarikat pemenang MyHackathon tembusi pasaran antarabangsa

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Tiga daripada 18 buah syarikat pemula berasaskan teknologi yang memenangi MyHackathon 2020, berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Tiga syarikat tersebut adalah syarikat Neuon AI Sdn Bhd dengan projek Roadplus, Havva Agrotech Sdn Bhd dengan sistem MyTechFarm, dan Exponential Digital Technologies Sdn Bhd dengan sistem eLancar.

- Advertisement -

Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, Neuon AI membangunkan satu sistem dan aplikasi bagi penyelenggaraan jalan raya melalui internet kebendaan (Internet of Things) dan kederdasan buatan (artificial intelligence).

Katanya, kini syarikat berkenaan sedang menjalankan projek rintis bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) di Sarawak.

“Havva Agrotech telah membangunkan sistem MyTechFarm, iaitu aplikasi untuk pembangunan kebun bandar (urban farming).

“Projek rintis ini dilaksanakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang dengan kerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.

Selain itu katanya, Exponential Digital Technologies membangunkan sistem eLancar, iaitu sistem analitik bagi pencari kerja di dalam portal Human Resource Development Fund (HRDF) placement centre.

Jelas Ahmad Amzad, pihak Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) terpilih sebagai agensi pelaksana dan pengaplikasian sistem berkenaan.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin yang meminta penjelasan sejauh mana MyHackathon dapat membantu menyelesaikan masalah rakyat serta meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan, di Dewan Negara, hari ini.

Tambah Ahmad Amzad, MyHackathon bersifat inklusif serta bertujuan untuk manfaatkan kuasa kolektif rakyat, ahli akademik dan komuniti syarikat pemula tempatan bagi memastikan gabungan kapasiti idea, sumber dan kepakaran terbaik. – HARAKAHDAILY 31/3/2022

- Advertisement -