Kelantan negeri terawal laksana Enakmen Hak Ekses

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Hak Ekses dan Penggunaan Guna Tanah.

Enakmen itu dibentangkan Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan mendapat sokongan semua Adun termasuk Barisan Nasional (BN).

Enakmen terbabit mewajibkan pembekal utiliti mendapat kebenaran pihak berkuasa negeri terlebih dahulu sebelum diberikan kebenaran melaksanakan projek.

- Advertisement -

“Ini penting sebelum diberikan hak ekses memasuki mana-mana tanah bagi pemasangan infrastruktur utiliti di Kelantan. Pemberian ekses ini di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

“Pada Disember 2019 Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan dasar hak ekses tersebut oleh pembekal utiliti sama ada di permukaan, di atas dan di bawah tanah,” katanya.

Menurutnya sebelum ini pembekal utiliti merupakan agensi kerajaan, namun situasi itu berubah selepas Dasar Penswastaan Negara dilaksanakan.

Beliau berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dahulu dikenali Lembaga Letrik Malaysia (LLM) bahagian tenaga, Jabatan Telekom pula dalam bidang komunikasi dan Jabatan Kerja Raya menjaga sumber air.

“Agensi terbabit menggunakan Seksyen 57 dan 58 Kanun Tanah Negara 1965 untuk melaksana dan menempatkan infrastruktur dan utiliti mereka di permukaan, di atas dan di bawah tanah.

“Dan setelah agensi diswastakan pemakaian Seksyen 57 dan 58 tidak sesuai lagi kerana pihak berkenaan menjadi badan yang berasingan dengan kerajaan,” katanya.

Kata beliau berdasarkan enakmen empat bahagian dan 24 seksyen, pembekal utiliti perlu dapat kebenaran pihak berkuasa negeri bagi tujuan kerja-kerja memajukan tanah kerajaan, rizab atau tanah beri milik.

Beliau juga berkata enakmen itu akan menjadi hak milik tanah di Kelantan lebih terpelihara kerana kebenaran pemilik tanah diperolehi terlebih dahulu sebelum pembekal utiliti menjalankan kerja.

Dato’ Mohd Adhan Kechil (BN-Kemahang) ketika menyokong enakmen tersebut berkata, Kelantan antara negeri terawal yang melaksanakan enakmen terbabit.

“Tidak banyak negeri lain yang kenakan caj kepada syarikat utiliti memandangkan syarikat terbabit bukan lagi milik kerajaan seperti sebelum diswastakan,” ujarnya.

Turut mengambil mengambil bahagian membahaskan enakmen tersebut Hilmi Abdullah (PAS-Guchil) dan Saiful Adli Abu Bakar (PAS-Salor). – HARAKAHDAILY 30/3/2022

- Advertisement -