‘22 bulan pentadbiran PH, kita sesak nafas’

Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hasan
- Advertisement -

Oleh ASLANI M

KOTA BHARU:
Sebelum ini ramai mengandaikan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan memberi ruang kepada PAS muncul untuk mengambil alih pentadbiran negara.

Bagaimanapun teori itu tidak menjadi kenyataan pada PRU14, kekalahan BN membolehkan Pakatan Harapan (PH) pula mengambil alih teraju negara.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kekalahan BN pada PRU lepas tidak memberi ruang kepada PAS untuk meneraju kerajaan.

Sedangkan katanya berdasar pertembungan lama antara PAS dan Umno sudah tentunya satu pihak kalah, memberi ruang pihak satu lagi menang.

“Kita mengharap apabila BN jatuh, yang akan jadi kerajaan ialah PAS, namun ia tidak berlaku begitu. Formula itu tidak terpakai, PAS lawan BN, namun orang lain yang menang.

“Sebaliknya sepanjang 22 bulan pentadbiran negara di bawah PH, kita cukup sesak nafas, kita dapati banyak dasar yang diperkenalkan merugikan orang Melayu dan Islam,” katanya yang juga Exco Kerajaan Kelantan pada persidangan Dun, semalam.

Kelmarin, Dato’ Hassan Mohamood (PAS-Tawang) ketika membahas ucapan menjunjung kasih Sultan Muhammad V berharap penyatuan ummah digerakkan kembali.

Dr Mohamed Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengetuai kerajaan PH turut menghadiri Kongres Maruah Melayu (KMM) di Stadium Melawati pada 6 Oktober 2019.

Menurutnya kehadiran Dr Mahathir sebagai perdana menteri ketika itu kerana beliau merasai sendiri gugatan yang berlaku terhadap orang Melayu dan Islam ketika itu.

“Perdana Menteri sendiri hadir pada kongres tersebut di Kuala Lumpur yang bertujuan membangkitkan semula semangat orang Melayu.

“Cabaran terhadap hak orang Melayu turut muncul di media sosial. Malah di Selangor muncul tulisan jalan di Selangor menggunakan bahasa lain.

“Tulisan-tulisan di media sosial begitu mengancam orang Melayu dan Islam. Pemimpin Islam dalam kerajaan PH pun merasai perkara yang sama. Maka tidak pelik Dr Mahathir datang sendiri ke kongres tersebut,” katanya.

Beliau juga berkaa, berdasar kajian yang dibuat PAS, Umno dan Bersatu sekiranya ketiga-tiga parti terbesar orang Melayu berpadu pada PRU-15 kemungkinan berlaku kemenangan lebih besar. – HARAKAHDAILY 31/3/2022