Kedah benar solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal

Masjid Zahir, Alor Setar.
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Semua masjid dan surau di Kedah dibenarkan menunaikan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal bermula Jumaat, 1 April ini.

Kebenaran itu termasuk untuk solat Jumaat dan tarawih serta solat jenazah.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata, kebenaran itu selaras dengan fasa peralihan ke endemik yang akan berkuat kuasa di seluruh negara 1 April ini.

- Advertisement -

Katanya, kebenaran solat jemaah tanpa penjarakan mendapat perkenan Tuanku Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah selaku Ketua Agama Islam Kedah.

“Bagaimanapun penjarakan sosial masih diwajibkan bagi aktiviti mengimarah masjid termasuk majlis berbuka puasa, sahur dan moreh, manakala makanan digalakkan disediakan secara bungkus,” katanya pada kenyataan semalam.

Majlis qiamullail dan iktikaf juga dibenar dengan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa termasuk program Ihya Ramadan seperti kuliah.

Mohd Yusri juga berkata, bagi pengurusan jenazah bukan Covid-19, ia perlu dilaksana dengan mengutamakan langkah pencegahan wabak seperti yang ditetapkan.

Manakala aktiviti ziarah kubur tidak boleh membabitkan perkumpulan yang sesak.

“Mereka yang hadir perlu memastikan penjarakan minimum selain tidak mempunyai gejala Covid-19,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 29/3/2022

- Advertisement -