Kadar zakat fitrah di Kelantan RM7, RM14, RM21

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan tiga kadar bayaran zakat fitrah bagi tahun 2022 iaitu RM7, RM14 dan RM21.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pembayar zakat di negeri itu boleh memilih kadar tersebut berpandukan harga beras yang dinikmati mereka.

- Advertisement -

Katanya, pembayaran zakat boleh dilakukankan melalui perkhidmatan kaunter Baitulmal yang terdapat di masjid bandar atau jajahan.

“Pembayaran zakat juga boleh dilakukan menggunakan e-Zakat Payment di laman sesawang www.e-maik.my atau menerusi institusi perbankan yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat bagi pihak MAIK,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pembayaran boleh dilakukan melalui Bank Islam Malaysia Berhad, CIMB, RHB, AmBank, Maybank, Bank Rakyat, Standard Chartered, Affin Bank Berhad, HSBC Bank Berhad, EON Bank Berhad, Al-Rajhi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional, OCBC Al-Amin, dan Agrobank.

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, kadar nisab zakat harta bagi tahun 1443H/2022M ditetapkan sebanyak RM20,366 untuk haul antara Ramadan tahun 1443H hingga Ramadan tahun 1444H.

“MAIK amat mengharap kerjasama semua pihak untuk mengambil maklum tentang ketetapan terkini itu. Bersama-sama kita menghidupkan Ramadan tahun ini dengan amalan soleh dan tanggungjawab berzakat sebagaimana difardukan,” ujarnya.

Menurutnya juga kadar zakat tersebut diperkenankan oleh Al Sultan Kelantan sebagai ketua agama di negeri itu.

“Saya bagi pihak MAIK mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan menunaikan ibadah zakat kepada semua umat Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/3/2022

- Advertisement -