Bajau Laut, madrasah terapung: Memeluk mimpi setahun lalu

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

MISI
bantuan kemanusiaan Muslim Care Malaysia (MCM) di musim pandemik ini telah mencecah lebih seribu program ke seluruh negara, bahkan di luar negara seperti Syria, Afghanistan, Gaza, Poland (pelarian perang Ukraine) dan sebagainya. MCM menelusi setiap lorong derita rakyat, bersama nafas lelah mereka, menyantuni ummah termasuk bantuan banjir, membina rumah-rumah asnaf serta bantuan ‘one off’ kepada rakyat Malaysia yang dihimpit kesusahan.

Menyantuni dan melayan ummah tidak boleh bercabang niat, selektif serta dengan niat menumpok kekayaan malah ada yang menggunakan wang yayasan untuk kegunaan peribadi sehingga terseret kes mahkamah. MCM yang didukung oleh ummah, didoakan oleh golongan musta’affin membelanjakan setiap sen ringgit dengan berhati-hati. Gerakan swadaya yang ditubuhkan pasca tsunami Acheh ini terus memacu laju bervariasi program menyantuni asnaf dan kelompok insan yang diuji dengan kepayahan di dalam dan juga luar negara.

Minggu ini anggota misi MCM bergerak ke Sabah ‘negeri di bawah bayu’ yang mempunyai kerencaman etnik dengan kerjasama rakan NGO kolaborasi yang lain. Sabah juga terkenal dengan masyarakat tanpa warganegara yang mendiami pesisir laut dan pihak keselamatan yang mengawal ketat perairan kerana wilayah ini sangat terdedah dengan penyusupan musuh negara. Sabah bukanlah negeri yang asing untuk pelbagai misi bantuan kemanusiaan, dakwah serta kebajikan Muslim Care sejak belasan tahun yang lalu.

- Advertisement -

Cuaca panas terik bulan Syaaban yang menikam ubun-ubun kepala sangat menginsafkan kami, Ramadan makin menggamit dengan cuaca semakin membahang. Merenung anak-anak asnaf dengan persekitaran yang kumuh dengan lingkungan sosial sebegitu sangat tidak menceriakan hati kami. Lokasi bantuan di Kampung Sungai Buaya Tawau, anggota bantuan disertai oleh pelbagai pihak antaranya team Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary, PKIMB Maybank, Yayasan Taqwa, dan lain-lain. Guratan wajah gembira menyambut kami dengan gotong royong memasak seekor lembu di Madrasah Durrus Salam. Saya melangkah setiap langkah dengan gembira di atas jambatan simen yang dibina dengan usahasama PKIMB dan Muslim Care Malaysia.

Dulu masyarakat dan pelajar-pelajar melalui papan kayu jeti dengan berhati-hati sekali, aku dulu bimbang saiz badan yang gagal dalam proses diet dan imbangan nutrisi ini ‘mencebur berjemaah’ dalam air laut. Madrasah kayu yang menampung 400 orang pelajar itu dikendalikan oleh Ustaz Ismail, seorang aktivis dakwah di Tawau dan diasaskan oleh almarhum Ustaz Zakaria yang berasal dari Kelantan.

Madrasah Durrus Salam menjadi mercu tanda bagi kampung ini, menjadi lokasi pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan.

Kami menyambung misi ke Pulau Mabul, acara dakwah kepada masyarakat tempatan, juga etnik Bajau laut yang mendiami bot, bersahabat dengan kehidupan laut, juga tanpa mobiliti sosial. Tanpa ilmu dan kepakaran mereka dilambung badai laut, mencari sesuap nasi untuk kelangsungan hidup. Hati bagai direnyuk apabila rombongan menyantuni asnaf laut yang sangat daif, anak-anak yang meminta makanan dengan wajah dimanifestasikan daripada keterpurukan hidup.

Ada yang tak mampu mengucap kalimah syahadah dan tak mengerti apa-apa pun tentang Islam.

Tanggungjawab mencerahkan mereka tentang Islam sangat besar di pundak kita semua orang beriman, bukan hanya memberikan makanan yang akan melepaskan rasa lapar namun juga aspek tarbiah. Menjiwai dan berempati dengan korpus kehidupan anak-anak suku Bajau Laut yang nyata kekurangan bimbingan Islam, maka Presiden Muslim Care Malaysia Society, Haji Zulkifli Wahijan bersama relawan lain dengan pantas memutuskan untuk mewujudkan madrasah terapung, khusus untuk kelompok Bajau Laut.

Usaha menggalang dana dibuat walaupun musim pandemik sedang menyelimuti tanah air.

Usaha ini akan dibantu oleh aktivis dan pendakwah yang cakna akan nasib masyarakat Bajau Laut. Menurut Haji Zulkifli Wahijan, usaha membantu mereka perlu digalang secara berterusan dan bersasar. Pelbagai rancangan akan dilaksanakan secara bersinergi dengan rakan-rakan NGO lain yang prihatin dalam isu ini. Objektifnya untuk memastikan penduduk Mabul terutama kanak-kanak di sini terus mendapat manfaat dan mengamalkan cara hidup Islam di dalam kehidupan mereka.

Sebelum ini antara misi MCM di pulau-pulau Sabah seperti di Pulau Selakan, Pulau Mantahani, Pulau Tiga, Pulau Bangil, Pulau Banggil, Pulau Bumbung dan sebagainya. Pada tahun 2013, MCM sudah pun membina sebuah sekolah agama atau madrasah di pulau Mabul dan ianya masih beroperasi sehingga sekarang. Imam Masjid Pulau Mabul, Ustaz Abdul Kuddus adalah alumni Maahad Tahfiz Muslim Care Malaysia Lembah Beringin Selangor.

Menurut Ketua Enik Bajau di Mabul, Panglima Mubin Paraja, kanak-kanak Bajau Laut atau digelar sebagai palaoh yang tinggal dalam rumah-rumah sampan agak berbeza dengan kanak-kanak lain, cara hidup nomad di laut, sulit untuk berubah dan tak boleh menyesuaikan diri dengan suasana sekolah di daratan.

“Mereka akan mabuk darat, selepas 10 minit di darat, mereka akan kembali ke laut,” tukas seorang pendidik di Pulau Mabul di SK Mabul yang pernah aku temui. Oh, hidup ini sangat rencam dan berwarna warni.

“Kehidupan mereka sangat biasa, mencari hasil dan berjualan kepada tetamu-tetamu ke Pulau Mabul malah ada orang tengah yang bekalkan sumber hasil laut,” tukas orang tempatan yang lain, berlabun akan masyarakat Bajau Laut atau palaoh ini.

Muslim Care Malaysia telah merancang untuk memodifikasi kaedah belajar bagi etnik Bajau Laut. Jika mereka tak boleh berada di daratan maka sekolah sampan adalah praktis. Idea yang berputik tahun 2021 apabila misi ke Mabul ini akhirnya berjaya direalisasikan, madrasah terapung adalah mimpi yang kami semua memeluknya dengan penuh kesyukuran. Terasa betapa indah dan damainya apabila memeluk ratusan mata memandang bot moden yang mencecah nilainya RM200,000 anak-anak Bajau Laut kelihatan teruja menatap madrasah untuk mereka belajar agama. Di negara Bangladesh yang miskin juga telah wujud madrasah terapung yang cekal memberikan senyuman dan juga ilmu kepada masyarakat pedalaman.

Pemusafiran dakwah dan berkebajikan selama empat hari ini sangat meruntun sukma. Sarat dengan pengajaran dan menambah koleksi pengalaman kampus kehidupan, melihat anak miskin yang makan separuh makanan dan separuh lagi makanan disimpan untuk dibawa pulang kepada bondanya, tak sedar air mata bergenang.

Syahadah kita adalah manifestasi rasa bersaudara dan saling membantu ummah yang dijeruk kepayahan. Ya Allah, semoga kami semua dapat menjadi tetamu Ramadan-Mu, diampunkan dosa-dosa kami, diistiqamahkan kami di atas jalan ini! – HARAKAHDAILY 28/3/2022

Penulis ialah relawan misi bantuan tanpa sempadan.

- Advertisement -