Kes petikan video `Perempuan Itu’ dirujuk ke Jabatan Peguam Negara

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menjalankan siasatan terhadap petikan video drama `Perempuan Itu’ yang menimbulkan kontroversi, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata proses undang-undang sedang berjalan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

- Advertisement -

“Kertas Siasatan telah dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya di Jabatan Peguam Negara dengan kadar segera bagi mendapatkan keputusan,” katanya ketika ucapan penggulungan Titah Diraja bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) di Dewan Negara, hari ini.

Zahidi berkata, Senator Ir Ts Haji Khairil Nizam Khirudin dan Senator Dato’ Haji Ahmad Yahaya, telah membangkitkan isu mengenai kandungan program drama dan filem yang tidak memberi nilai positif kepada masyarakat dan apakah tindakan pencegahan yang akan diambil oleh kerajaan.

Petikan video drama `Perempuan Itu’ yang bakal ditayangkan Ramadan ini, mendapat bantahan keras pelbagai peringkat masyarakat kerana jelas mempamerkan perbuatan dilarang Islam dengan aksi dan adegan tidak bermoral melampaui batas serta bertentangan dengan norma masyarakat dan hukum syarak.

Pelakon utama drama itu, Zul Ariffin, mencetuskan kekecohan dalam media sosial apabila memuat naik petikan adegan `panas’ bersama pelakon baharu, Siti Hariesa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, turut menegur dengan menyifatkan paparan itu sebagai melampaui batas.

“Hela nafas panjang saya apabila sebuah drama yang ditular untuk ditayangkan dalam bulan yang sepatutnya ditunggu oleh seluruh manusia yang beriman bagi mengejar taqwa, namun, seolah dicemari dengan kegusaran yang saya kira melampaui batas yang perlu ditegur,” katanya.

Zahidi berkata, secara umum, dalam memastikan isi kandungan bahan penyiaran tidak menyimpang daripada ajaran Islam, adat dan budaya Malaysia serta elemen yang boleh menjejaskan keharmonian dan sensitiviti kaum serta mendatangkan kegusaran kepada masyarakat, semua badan penyiar perlu memastikan pematuhan kepada beberapa garis panduan.

Katanya, ini termasuk Garis Panduan Penapisan Filem di bawah Lembaga Penapisan Filem (LPF), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Garis Panduan Penapisan Kandungan Berunsur Islam oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Garis Panduan Siaran TV RTM oleh K-KOMM.

“Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) turut memastikan penggiat industri perfileman tempatan yang menerima Dana Kandungan Digital mematuhi terma kontrak yang telah ditandatangani antaranya ialah kewajipan untuk mendapatkan kelulusan tayangan daripada LPF, KDN atau stesen penyiar.

Sementara itu, katanya LPF mengkaji semula penurunan kuasa kepada stesen televisyen dalam proses kelulusan penyiaran sesuatu filem atau drama supaya lebih terkawal dan hukuman lebih berat boleh dikenakan jika terjadi sebarang pelanggaran.

“Semua stesen televisyen yang membuat proses penapisan siaran mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang menyebarkan klip video tanpa kebenaran yang boleh mencalar imej dan semua stesen penyiar perlu bertanggungjawab dalam memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/3/22

- Advertisement -