Kelantan benar solat tanpa penjarakan fizikal

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mewajibkan semua jemaah memakai pelitup hidung dan mulut ketika menunaikan solat berjemaah di masjid, surau dan musala.

Selain itu mereka juga diwajibkan membawa sejadah serta tidak dibenar bersalam antara satu sama lain.

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, prosedur operasi standard (SOP) masjid, surau dan musala dikekalkan sebagaimana yang dikeluarkan sebelum ini.

- Advertisement -

Katanya, SOP masjid, surau dan musala tersebut selaras dengan pandangan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut beliau juga pelaksanaan solat fardu Jumaat dan lima waktu dibenarkan beroperasi seperti biasa tanpa penjarakan fizikal termasuk solat tarawih dan qiamulail pada bulan Ramadan.

“Semua aktiviti termasuk majlis zikir, kelas al-Quran, kuliah dan lain-lain termasuk program Ihya Ramadan dibenarkan beroperasi seperti biasa tanpa penjarakan fizikal.

“Pihak masjid, surau dan musala hanya dibenarkan menyediakan menu jamuan berbuka puasa, moreh dan sahur secara bungkus dan diagih kepada jemaah untuk dibawa pulang,” katanya pada kenyataan hari ini.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Temenggong Kelantan berkata, hanya jemaah yang tidak mempunyai apa-apa gejala Covid-19 sahaja dibenarkan hadir manakala jemaah bergejala tidak dibenarkan hadir.

Menurutnya SOP di atas hendaklah dipatuhi sepenuhnya pihak pengurusan masjid, surau, musala dan tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan mematuhi SOP.

Kata beliau juga kebenaran tersebut dengan mengambil kira Kelantan turut beralih kepada fasa endemik.

“Perkara itu mendapat mengampuni perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

“Pelaksanaan solat fardu Jumaat, solat fardu lima waktu dan aktiviti di masjid negeri, bandar, jajahan, mukim, surau dan musala seluruh Kelantan berkuatkuasa 1 April ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/3/2022

- Advertisement -