Langkawi rendah karbon selari ke arah GHG sifar bersih

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Insya-Allah, Pulau Langkawi akan menjadi pulau rendah karbon pada tahun 2035,” kata Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagi beliau, ia satu aspirasi yang mantap dan selari dengan rencana negara ke arah pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih seawal tahun 2050.

- Advertisement -

“Tahniah, Kerajaan Negeri Kedah di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi!” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Pada persidangan Dun Kedah kelmarin, Sanusi mengumumkan Langkawi akan menjadi pusat pelancongan utama bertaraf antarabangsa yang mesra alam sekitar menjelang 2035.

Menerusi hantaran sebelum ini, beliau mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu yang melancarkan Kempen Tiada Beg Plastik dan Pemberian Penyedut Minuman Atas Permintaan, kelmarin.

“Saya bagi pihak KASA mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri kerana telah melancarkan Kempen Tiada Beg Plastik dan Pemberian Penyedut Minuman Atas Permintaan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau difahamkan fasa kedua kempen yang bermula pada tahun ini akan diperluas kepada jenis perniagaan kedai runcit, pasar basah, pasar malam dan pasar tani.

Malah, ia akan dimulakan di 63 bazar Ramadan melibatkan 5,342 peniaga.

Kempen itu merupakan sebahagian daripada rencana Pelan Hala Tuju Malaysia ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna Tahun 2018-2030 yang diperkenalkan oleh KASA. – HARAKAHDAILY 24/3/2022

- Advertisement -