Kerajaan nafi FELDA beli hasil sawit dengan harga tidak kompetitif

Gambar fail seorang pekerja ladang kelapa sawit di Slim River, Perak, Malaysia sedang menunjukkan biji-biji sawit yang digunakan bagi penghasilan minyak sawit, pada 12 Ogos 2021 (FOTO Reuters)
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed menafikan dakwaan, FELDA membeli hasil sawit daripada peneroka dengan harga yang tidak kompetitif.

Menurutnya, FELDA menetapkan harga berdasarkan harga semasa ditetapkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta berdasarkan kadar perahan minyak (OER) yang ditetapkan FELDA.

- Advertisement -

“Jadi, tanggapan bahawa FELDA membeli hasil daripada peneroka dengan harga yang tidak kompetitif itu adalah kurang tepat,” katanya.

Selain itu, Mustapa turut menafikan tanggapan FELDA mengambil alih pengurusan ladang peneroka sepenuhnya selepas peneroka menandatangani perjanjian penghapusan hutang.

Katanya, soal ambil alih pengurusan ladang tidak berbangkit memandangkan terdapat dua kaedah pengurusan, iaitu ladang yang diuruskan FELDA dan ladang yang diuruskan peneroka sendiri.

“Terdapat kebimbangan kerana libat urus, ada peneroka berpandangan bahawa FELDA akan ambil alih pengurusan FELDA sepenuhnya, ada sedikit salah tanggapan.

“Bukan bermakna kita akan ambil kesemua, pengurusan ladang tersebut. Ladang yang diuruskan sendiri oleh peneroka, akan terus diuruskan sendiri oleh peneroka,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, di Dewan Negara, hari ini.

Menurut Mustapa, syarat yang dikenakan FELDA terhadap peneroka setelah menandatanagi perjanjian penghapusan hutang peneroka ialah, FELDA ingin memastikan beberapa piawaian diikuti.

Antaranya kata beliau, peneroka juga hendaklah menghantar hasil sepenuhnya kepada FELDA.

Katanya, jika peneroka menerima tawaran itu, peneroka juga perlu membayar sejumlah RM250 hingga RM300 secara bulanan berbanding sebelum ini sebanyak RM800 hingga RM1,000. – HARAKAHDAILY 23/3/2022

- Advertisement -