99,640 peneroka setuju tawaran penghapusan hutang FELDA

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Seramai 99,640 peneroka bersetuju menerima tawaran penghapusan pinjaman hutang FELDA dan telah menandatangani perjanjian itu, sehingga kini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed, FELDA menawarkan penghapusan hutang kepada 93 peratus daripada jumlah peneroka yang mempunyai hutang dengan FELDA, iaitu seramai 104,894 peneroka.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya, terdapat syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh peneroka, antaranya peneroka hendaklah menghantar hasil sepenuhnya kepada FELDA.

“Kedua, peneroka hendaklah membayar bayaran ansuran bulanan sepenuhnya pada setiap bulan baki pinjaman selepas penghapusan tersebut.

“Ketiga, peneroka hendaklah melaksanakan pengurusan kebun tersebut mengikut kaedah, piawaian, prosedur operasi standard (SOP) amalan pertanian baik yang ditetapkan FELDA,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, di Dewan Negara, hari ini.

Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin

Tambah Mustapa, bayaran balik pinjaaman berdasarkan kadar selepas penghapusan mula dilaksanakan pada Ogos tahun lalu bagi peneroka yang ladang mereka diuruskan oleh FELDA, iaitu 53,004 peneroka.

Manakala, peneroka yang menguruskan sendiri ladang dan menghantar hasil melalui FELDA, pelaksanaannya bermula September tahun lalu dengan melalui tempoh pemantauan 6 bulan berdasarkan syarat ditetapkan, iaitu 13,820 peneroka. – HARAKAHDAILY 23/2/2022

- Advertisement -