Wala’ dan tsiqah umpama imam dan makmum

- Advertisement -

TAMBUN: Keterlibatan ahli PAS dalam gerak kerja perjuangan sama ada dengan melibatkan diri atau menyumbangkan harta benda dimiliki merupakan tindakan yang selari dengan tuntutan Islam, kata Ketua Penerangan PAS Kawasan Tambun, Ustaz Rosli Azizan. 

“Syarat-syarat amilin ini ada dalam rukun bai’ah yang merupakan aspirasi perjuangan PAS. Pertama ialah al-fahmu. Kefahaman ini merupakan syarat utama kerana apa? (Kerana) orang-orang yang tidak faham agenda perjuangan (inilah) yang akan buat perkara yang berlawanan dengan jemaah. 

- Advertisement -

“Jika kita faham perjuangan, kita (pasti) tidak akan menimbulkan masalah dalam parti. Seterusnya Ikhlas. Bab ikhlas ni biasanya teruji bila ada perubahan jawatan. Ketahuilah yang terbaik bukan (pada) besar atau banyak jawatan. 

“Yang terbaik adalah apa yang diamanahkan (oleh) parti, kita lakukan sehabis baik. Itulah yang akan dinilai oleh Allah,” tegasnya pada Munajat Akifi Muslimat PAS Tambun mengenai syarat-syarat yang perlu dipenuh oleh amilin PAS agar tidak mudah tergelincir dari medan perjuangan. 

Pesannya, meskipun berlaku perubahan dan pertukaran tingkat jawatan dalam sesebuah organisasi, kesungguhan ditunjukkan ahli PAS dalam melaksanakan gerak kerja hendaklah terus dikekalkan tanpa wujudnya istilah merajuk lebih-lebih lagi tidak puas hati dengan perjuangan. 

Mengupas syarat ketiga, Ustaz Rosli menjelaskan perlunya ada wala’ dan tsiqah sepenuhnya kepada pimpinan tertinggi parti dengan memberikan kerjasama yang terbaik terhadap setiap pengarahan dan strategi yang telah disusun di peringkat mereka.  

“Kalau kita sayangkan jemaah, sayang kita itu takkan lebih besar dari PJ, (dari) Presiden. Tentulah mereka yang diberi amanah yang tinggi ini lebih sayangkan jemaah. Boleh jadi tindakan pimpinan itu ada salahnya.

“Tapi jangan sesekali kita lari dari wala’ dan tsiqah (kerana) pimpinan (juga) sayangkan jemaah. Mereka (juga) sentiasa mahukan yang terbaik untuk perjuangan ini,” tegur beliau.

Dalam pada itu, Ustaz Rosli turut berkongsi sebuah analogi yang jelas menggambarkan ahli PAS perlu berperanan dalam memberikan wala‘ dan tsiqah kepada pimpinan umpama imam dan makmum dalam solat jemaah. 

“Kita (ahli) ni makmum. Ikut sahaja apa imam buat. Imam yang susah. Perlu qari, perlu fasih, perlu ada kursus imam. Pernah kita dengar kursus makmum? Imam beri salam kita beri salam, imam sujud sahwi kita sujud sahwi. Suara kita tidak boleh lagi tinggi dari imam. 

“Begitulah cara kita perlu wala‘. Bila mana kita sebagai ahli berperanan dengan penuh disiplin, maka tugasan pimpinan yang menahkodakan perjuangan akan jadi mudah,” kongsinya. – HARAKAHDAILY 21/3/2022

- Advertisement -