ADUN Chenor semarakkan sunnah memanah

Anjur Kejohanan Memanah Tradisional Piala ADUN Chenor Tertutup Pahang 2022 kali kedua

- Advertisement -

MARAN: ADUN Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak telah merasmikan Kejohanan Memanah Tradisional Piala ADUN Chenor Tertutup Pahang 2022 kali kedua di padang awam FELDA Sungai Nerek, Chenor, di sini kelmarin. 

- Advertisement -

Kejohanan anjuran Sekretariat DUN Chenor dengan kerjasama Persatuan Pemanah Tradisional Pahang (PETRA Pahang) itu, dirasmikan dengan iringan tiupan tetuang oleh peniup tetuang terkenal Rozali Mohd Rani atau lebih dikenali dengan panggilan Pak We. 

Ustaz Mujib dalam ucapannya berkata, memanah adalah sunnah Nabi SAW yang sangat baik diamalkan dan satu warisan yang perlu dipertahankan oleh orang Islam. 

“Antara hikmah jika kita selalu berlatih memanah kerana ia dapat melatih diri  menjadi tenang dan penyabar dalam kehidupan seperti mana kita perlu tenang ketika membidik sasaran di hadapan,” ucapnya lagi. 

Sementara itu, Pengarah Kejohanan, Zolkifle Muda merangkap Pengerusi PETRA Maran berkata, kejohanan kali ini telah disertai seramai 98 peserta termasuk 22 wanita dan penyertaannya tertutup hanya peserta dalam Pahang sahaja. 

“Ini adalah penganjuran kali kedua oleh Sekretariat DUN Chenor dalam matlamat kami berusaha memperkenalkan sukan sunnah seperti memanah ini, di samping itu juga dapat meningkatkan lagi ukhwah sesama pemanah dan dapat meningkatkan mental serta fizikal pengamalnya.

“Walaupun kami ada menerima pemohonan penyertaan dari luar Pahang, untuk kali ini kami menghadkan penyertaan dan terpaksa kami tolak dulu memandangkan suasana COVID-19 kini masih belum reda lagi.

“Alhamdulillah, jumlah penyertaan hari tercapai dari apa yang kami sasarkan dan jika keadaan COVID-19 telah reda nanti kami bersedia menganjurkan kejohanan yang lebih besar lagi,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi PETRA Pahang, Mohd Zailan Mohd Zainuddin berkata kejohanan ini telah berlangsung dengan lancar dan tersusun dalam pengurusan serta kerjasama dari para peserta. 

Johan bagi kategori lelaki telah dimenangi oleh Mohd Zahrul Shafiq Zahar dari Kelab Sungai Nerek Archery, manakala bagi kategori wanita pula telah dimenangi oleh Raftah Ab Rahim dari Kelab Memanah Cikgu-Cikgu Murni.

Kedua-dua pemenang menerima hadiah wang tunai RM500 seorang berserta medal. 

Dalam pada itu, ADUN Chenor turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada Mohd Zahrul Shafiq Zahar dari Kelab Sungai Nerek Archery di mana beliau bakal mewakili negara ke Kyrgyzstan pada Ogos ini. – HARAKAHDAILY 21/3/2022

- Advertisement -